suria

Mempromosikan Malaysia Menerusi Jersi Cardiff City

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, nama Malaysia akan terpampang di jersi baru pasukan Liga Bola Sepak Inggeris, Cardiff City.

Jersi terkini di tempat sendiri dan gelanggang lawan (warna biru dan kuning) kelab itu bakal memuatkan nama Malaysia pada musim baru akan datang.

Pengerusi Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee berkata, inisiatif itu dicetuskan oleh pengasas Berjaya Corp Bhd, Tan Sri Vincent Tan untuk mempromosikan Malaysia dan menunjukkan sokongan padu daripada pemegang saham utama kelab itu.

"Sejak dari awal, ia sentiasa mengenai sebuah kelab bola sepak hebat dan dua negara. Malaysia dan Wales mempunyai banyak persamaan," katanya kepada The Star, Sabtu.

Cardiff sekali lagi dirundung kecewa apabila gagal mengisi slot beraksi ke saingan Liga Perdana Inggeris buat kali kedua berturut-turut.

Chan berharap agar jersi baru itu dapat mengembalikan stamina pemain dan meningkatkan semangat berpasukan.

Nama Malaysia dalam versi lebih kecil akan tertera di belakang jersi dan seluar para pemain.

Dalam satu kenyataan, Cardiff berkata, kerjasama dengan Malaysia, para pelabur dan lembaga pengarah sentiasa memacu perkembangan pasukan itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cardiff, Gethin Jenkins, kelab itu mempunyai beberapa pilihan penaja jersi untuk berkerjasama dengan rakan komersial dan jenama di Britain dan luar negara.

"Bagaimanapun, selepas bercakap dengan pelabur kami dan mengetahui komitmen Tan dan Chan, kami yakin cara terbaik untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia adalah dengan menyarung jersi yang tertera nama negara itu.

"Pengukuhan hubungan antara Cardiff City dan Malaysia akan diteruskan dengan kempen 1Malaysia selain menambah baik hubungan bola sepak menerusi 1Malaysia Cardiff City Grassrotts Academy di Kuala Lumpur," jelasnya.

Pada Mei 2010, Chan mengetuai konsortium Malaysia dengan memiliki 36.37 peratus pegangan saham bernilai £6 juta (RM28.8 juta).

Chan yang merupakan Pengarah Urusan Central Malaysia Properties Sdn Bhd, menguasai 10 peratus manakala Tan selebihnya.

Artikel Lain