suria

Dapatkan Perkhidmatan, Produk Malaysia:Najib

PUTRAJAYA: Negara-negara Afrika seharusnya melihat ke arah ekonomi-ekonomi yang sedang meningkat seperti Malaysia, bagi mendapatkan produk serta perkhidmatan, dan bukan hanya bertumpu kepada ekonomi maju.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat gesaan itu berkata syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) dari Malaysia dan Afrika juga perlu bekerjasama kerana ada banyak yang dapat ditawarkan oleh SME tempatan kepada SME Afrika.

"SME di negara-negara ini dapat mengenal pasti, menetapkan dan menghasilkan barang-barang yang diperlukan. Ini boleh menjadi contoh kepada kerjasama perkongsian bestari di masa depan," katanya semasa manyampaikan ucaptama di Dialog Antarabangsa Langkawi (LID 2011) di sini Ahad.

Menteri Kewangan berkata prospek perdagangan antara Malaysia dan Afrika ketika ini tiada batasannya.

Beliau turut memuji LID kerana berjaya meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan Afrika dengan ketara sejak ia ditubuhkan pada 1995.

Tahun lepas perdagangan antara dua pihak itu naik 39 peratus kepada RM25 bilion berbanding 2009, sekaligus dapat meningkatkan lagi kemungkinan Afrika mengalami "kebangkitan ekonomi".

Antara 2001 dan 2010, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benua itu berada pada purata 5.2 peratus setiap tahun - kadar pertumbuhan yang juga dijangka dapat dicapai tahun ini, sekaligus melepasi purata global KDNK 4.2 peratus.

Najib turut memuji forum perniagaan yang julung kali diadakan semalam, dan menggambarkan ia sebagai kejayaan besar kerana ia menyediakan platform baru dan menarik bagi meneroka peluang-peluang pelaburan dan perniagaan antara Malaysia dan rakan kongsi.

"Ia juga bertindak sebagai alat berguna bagi mengukur potensi dan iklim perniagaan, dan saya benar-benar berharap agar forum ini akan terus menjadi sebahagian daripada dialog perkongsian bestari di masa depan," kata Najib.- BERNAMA

Artikel Lain