suria

Eksekutif Pentadbiran Didakwa Pecah Amanah RM115,700

SHAH ALAM: Seorang eksekutif pentadbiran sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah RM115,700 pada 2006 dan 2007.

Jaswani Jaafar, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di pejabat majikannya, syarikat Alloy Consolidated Sdn Bhd, Gombak, Selangor.

Hakim Mohd Fadhir Harun, yang menetapkan 6 Julai untuk menyebut semula kes itu, membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta meminta tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Jaswani didakwa memasukkan cek bayaran sewa kepada syarikat itu ke dalam akaunnya sendiri berjumlah RM79,950 pada 2006 dan cek sewa berjumlah RM35,750 pada 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun, sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie manakala Jaswani diwakili peguam Mohd Riza Zakaria. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain