suria

Hadi Mempunyai Pandangan Berbeza Mengenai Isu Video Seks

KOTA BAHARU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, undang-undang syariah di negara masih dipengaruhi elemen era-kolonial iaitu masih mengikuti undang-undang British.

Beliau berkata, undang-undang syariah di negara ini perlu mengikut intipati Islam yang lebih tepat agar isu video seks yang didakwa membabitkan seorang tokoh pembangkang yang mirip Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dijadikan senjata untuk memfitnah.

"Apa yang ada di dalam enakmen pentadbiran Islam itu bukan... itu British," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Malahan Hadi mempersoalkan kenapa tidak ditangkap khalwat terhadap si pelaku di dalam video itu daripada membuat rakaman video seks.

Beliau juga mempersoalkan, setelah dimaklumkan mengenai rakaman video itu, bahawa kenapa rakaman video berkenaan berwarna hitam putih yang jelas menunjukkan ia adalah rakaman yang lama.

Semalam Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan ketetapan sama ada rakaman video seks boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah bagi meredakan isu berkenaan yang didakwa melibatkan Anwar.

Video seks itu menjadi polemik politik apabila pendirian PAS yang mendakwa rakaman video seks dikaitkan dengan Anwar sebagai satu fitnah dan tidak boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah kerana tidak mempunyai mata serta telinga.

Ketika menutup Muktamar Tahunan PAS Ke-57 pada Ahad, Abdul Hadi berkata, sesuatu klip video tidak boleh dijadikan bukti kerana parti tersebut berpegang kepada konsep empat saksi terutama dalam kes liwat dan zina. - BERNAMA

Artikel Lain