suria

Tempoh Latihan PLKN Mungkin Dipanjangkan:Zahid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedang mengkaji kemungkinan untuk memanjangkan tempoh latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tempoh latihan tiga bulan ketika ini terlalu singkat dan tidak memadai dalam usaha membentuk sahsiah terpuji, keperibadian unggul dan memupuk semangat patriotisme.

"Tempoh tiga bulan amat singkat sebenarnya. Ada ibu bapa dan pelatih sendiri yang mengadu kepada bahawa pelajaran yang diterima tidak cukup kerana tempoh latihan yang terlalu pendek," katanya dan menambah bahawa cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Latihan Khidmat Negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Pemakaian Pangkat Kolonel Kehormat kepada Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil di Kementerian Pertahanan di sini Khamis.

Menurutnya cadangan memanjangkan tempoh latihan itu digariskan di bawah Strategi Lautan Biru yang mana dalam strategi itu juga beberapa perubahan dan nilai tambah pada latihan akan dibuat termasuk penambahan modul-modul.

Ahmad Zahid berkata JLKN juga akan memperkenalkan modul Latihan Dinamika Kumpulan (LDK) yang dipanggil 'Mari Mengundi' yang bertujuan meningkatkan kesedaran para pelatih kepada kepentingan mengundi apabila mereka mencapai umur 21 tahun nanti.

"Kita akan bawa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk masuk ke kem-kem latihan bagi memberikan input LDK dalam mengajak para pelatih untuk menjadi pengundi bila cukup umur," katanya.

Beliau menafikan modul 'Mari Mengundi' itu bermotif politik dan berkata "kita tidak akan mempolitikkan modul dan membentuk acuan ke arah sesuatu parti kerana mereka adalah pelajar yang akan jadi warga rasional yang bakal meneraju negara".

Beliau berkata JLKN turut bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memastikan program fizikalnya sentiasa dikemaskini agar ia sesuai dan seiring dengan peredaran serta piawaiaan yang ditetapkan.

Beliau seterusnya menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya PLKN tidak berfaedah sebaliknya program itu menunjukkan kesan yang amat positif dalam pembentukan ciri-ciri patriotisme, perpaduan kaum dan integrasi nasional, keperibadian unggul dan integriti serta semangat sukarelawan dalam kalangan remaja.

Ahmad Zahid berkata masyarakat sepatutnya menerima hakikat bahawa PLK Nadalah untuk menjadikan pesertanya sebagai warga yang baik dan bukannya sebagai pusat indoktrinasi politik.

Mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang meminta kerajaan memotong peruntukan PLKN, katanya "Beliau (Khairy) boleh bawa perkara ini masa perbahasan di parlimen nanti".

Khairy sebelum ini meminta kerajaan mengurangkan pembelanjaan untuk program yang dikatakannya kurang berkesan dan menelan belanja yang besar contohnya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang memakan belanja RM560 juta setahun.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pihaknya bercadang untuk menyerapkan 3,698 kakitangan kontrak PLKN yang terdiri daripada jurulatih sebagai kakitangan tetap.

"Terlalu ramai yang meninggalkan perkhidmatan dalam JLKN, 40 peratus yang meninggalkan JLKN kerana jawatan mereka adalah jawatan kontak, tentu mereka mahu kerjaya yang lebih terjamin jadi adalah munasabah jika kita tawarkan mereka jawatan tetap.

"Kita sedang cari jalan supaya langkah-langkah dapat diambil untuk menetapkan jawatan mereka biarpun dari segi jangka panjangnya mungkin agak berat bagi pihak kerajaan untuk persetujui," katanya.

PLKN dilancarkan pada 16 Februari 2004 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, dengan kumpulan sasaran merupakan golongan remaja berumur 18 tahun.- BERNAMA

Artikel Lain