suria

Najib Garis Tujuh Prinsip Beri Suntikan Baru Sektor Pertanian

SERDANG: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan tujuh prinsip bagi memberi suntikan baru kepada sektor pertanian agar lebih dinamik selaras dengan dasar jaminan bekalan makanan negara.

Perdana Menteri berkata langkah yang juga bagi memberi "kesegaran" kepada sektor pertanian adalah sebagai persediaan dan perancangan untuk mengurangkan kesan daripada tiga bentuk ancaman kepada dunia pada masa akan datang.

Katanya tiga ancaman itu ialah jaminan bekalan makanan dan peningkatan harga barangan makanan, jaminan bahan tenaga serta cabaran kepanasan global dan perubahan iklim.

"Selaras dengan dasar jaminan bekalan makanan, kita perlu melihat bagaimana boleh beri suntikan baru kepada sektor pertanian agar dinamik dan lebih segar daripada segi perkembangan dan imejnya," kata beliau ketika menyampaikan amanat pada Hari Perhimpunan Petani, Penternak dan Nelayan di sini, Jumaat.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Pada majlis itu, Najib melancarkan pasukan Kor Tani, kumpulan terdiri daripada mereka yang terlibat dalam bidang pertanian, dan portal AgriBazaar, bagi mempromosi perniagaan dan perdagangan antara pengeluar dan pembekal produk dan hasil pertanian secara online.

Mengenai tujuh prinsip itu, Najib berkata yang pertama ialah berkenaan dengan soal teknologi iaitu setiap bidang tanah yang sudah dilupuskan untuk pertanian, mestilah dilihat bagaimana pengeluarannya boleh ditingkatkan dan dilonjakkan.

Sebagai contoh, katanya, ialah menggunakan benih yang dibangunkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh Mardi dan pihak lain serta penggunaan teknologi baru untuk menambah hasil penangkapan ikan berbanding penggunaan tukun sebelum ini.

Najib berkata para petani, penternak dan nelayan juga perlu terus mengamalkan prinsip amalan terbaik dalam bidang pertanian dan meninggalkan amalan "TTT", iaitu tanam, tinggal dan tuai.

Katanya prinsip ketiga ialah untuk melihat daripada segi keluasan tanah yang ekonomik, iaitu dengan mengusahakan tanah yang boleh memberi pulangan berbaloi kepada usaha yang dilakukan dan melihat kepada pembangunan secara kluster.

Najib berkata prinsip keempat ialah rantaian pemasaran yang memberi keuntungan kepada pengeluar iaitu petani, kerana rantaian pemasaran yang memberi pulangan yang berpatutan dan nilai tambah yang baik, akan menguntungkan mereka yang menjadi pengeluar pada peringkat permulaannya.

"Sebab itu, saya mengalu-alukan langkah yang dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melancarkan portal AgriBazaar pada hari ini. Semoga melalui alam maya ini, kita akan dapat bidang pemasaran yang lebih luas di dalam dan juga luar negara," katanya.

Selain itu, katanya, mempunyai prasarana yang lengkap seperti sistem perairan yang baik, akan dapat menambahkan hasil pengeluaran manakala kemudahan jalan raya di ladang atau jalan kecil dapat membantu petani mengeluarkan hasil pertanian.

"Keenam ialah untuk kita berpindah daripada pertanian bernilai rendah kepada pertanian bernilai tinggi. Ini boleh ditekankan kepada perusahaan seperti rumpai laut, ikan hiasan, burung walit dan sebagainya sebagai alternatif yang lebih baik untuk diceburi," kata Perdana Menteri.

Katanya prinsip ketujuh ialah sikap, etika dan budaya kerja.

Dengan pelancaran Kor Tani pada hari ini, beliau berharap ia akan menjadi "angkatan pembaharuan" dalam bidang pertanian dan dapat menarik golongan muda untuk menyertai bidang pertanian.

Kor Tani ialah kumpulan golongan muda yang akan membantu kementerian dan golongan sasar dalam kerja kebajikan dan sukarela terutama apabila berlaku bencana alam seperti banjir.

Najib berkata sektor pertanian negara telah menunjukkan perkembangan yang baik dengan menyumbang RM40.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2010 berbanding RM30.6 bilion pada 2000.

Daripada jumlah itu, sumbangan sektor agro-makanan ialah RM16.4 bilion atau 39.5 peratus daripada nilai ditambah sektor pertanian.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, sektor agro-makanan diunjur berkembang pada kadar 4.1 peratus dengan sumbangan nilai ditambah meningkat kepada RM20.1 bilion.

Najib berkata dalam konteks perubahan besar kepada negara yang sedang dirancang, kerajaan turut melihat bagaimana sektor pertanian boleh menyumbang kepada transformasi negara, yang didasarkan kepada perancangan tersusun lagi sistematik dan bersifat total.

"Jangan ada hendaknya, salah anggap bahawa kerajaan hanya memberi tumpuan kepada sektor korporat atau Lembah Klang sahaja tetapi ia meliputi kawasan luar bandar di seluruh negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain