suria

Pekerja Kontrak Dipenjara, Didenda Sebabkan Kematian Penunggang Motosikal

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kontrak dihukum penjara tiga tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana melanggar seorang penunggang motosikal sehingga menyebabkan kematian, lapan tahun lalu.

Majistret Parvin Hameedah Natchiar juga memerintahkan lesen memandu Tan Hai Chun, 27, digantung empat tahun.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah mendapati pembelaan Tan, yang diwakili peguam Ali Munawar Razak, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tan didakwa memandu sebuah kereta dalam keadaan berbahaya dan melanggar Haizeel Izman Masrur di Jalan Loke Yew pada 11.30 malam, 28 Okt 2003 mengikut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1977, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 selain hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu sehingga tiga tahun dan lesen percubaan dibatalkan.

Ketika kejadian, tertuduh berusia 19 tahun dan baru memperoleh lesen memandu.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Abdullah Said memohon Tan dikenakan hukuman sewajarnya kerana kejadian itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa. - BERNAMA

Artikel Lain