suria

India Siasat Tiga Rakyat Malaysia Termasuk Datuk V Dalam Kes Penipuan

NEW DELHI: Sebuah agensi penyiasatan India memohon bantuan Malaysia untuk menjalan siasatan terhadap tiga ahli perniagaan, termasuk seorang bergelar 'Datuk' berhubung kegiatan pengubahan wang haram yang mempunyai kaitan dengan kes penipuan lesen telekom di India.

Direktorat Penguatkuasaan (DoE) mengenal pasti tiga rakyat Malaysia itu setelah mendapati syarikat mereka digunakan untuk memindahkan sejumlah besar wang yang diperoleh melalui pengeluaran lesen telefon generasi kedua (2G) secara haram.

"Siasatan kami menemui beberapa petunjuk berkaitan individu terbabit serta syarikat mereka dalam perbuatan menyalurkan wang suapan.

"Kami sedang menyiasat kegiatan itu serta hubungannya dengan kes penipuan itu dan menunggu respons mengenai maklumat yang kami harapkan daripada pelbagai negara," kata seorang pegawai DoE kepada Mint, sebuah akhbar harian tempatan.

Dokumen yang diteliti di Delhi menunjukkan sebuah daripada syarikat terbabit dimiliki 'Datuk V' yang berpejabat di Kuala Lumpur.

Ahli perniagaan berusia 47 tahun itu dianugerah gelaran Datuk pada 2006.

"Syarikat berkenaan disyaki bersubahat dengan syarikat atau individu (lain) untuk mengubah wang haram yang mereka peroleh melalui amalan rasuah.

"Adalah juga disyaki, mereka cuba menyembunyikan identiti dan kegiatan masing-masing dengan menggunakan khidmat sekutu serta rakan perniagaan atau individu di luar India untuk melakukan transaksi kewangan," kata kenyataan DoE.

Kes penipuan 2G itu, yang disifatkan antara penipuan korporat terbesar di India, melibatkan peruntukan lesen kepada syarikat besar serta ternama dengan harga rendah pada 2008 oleh Menteri Telekom India ketika itu.

Pihak berkuasa mendakwa kegiatan itu mengakibatkan kerugian hasil hampir US$39 bilion (RM117 bilion).

Skandal ini menggoncang kerajaan India apabila anggota parlimen Pembangkang memulau sidang Parlimen selama berminggu-minggu bagi menuntut siasatan dijalankan, manakala beberapa pemimpin korporat terkenal disiasat.

Susulan itu, seorang menteri dari Tamil Nadu, yang menganggotai parti pemerintah Dravida Munnettra Kazhagam (DMK), terpaksa meletak jawatan pada November tahun lepas. Ketika siasatan giat dijalankan, pembantu bekas menteri itu membunuh diri di Chennai pada 16 Mac, manakala pemandunya didakwa hilang.

Para penyiasat mengesyaki beberapa ahli politik berpengaruh dari selatan India, termasuk bekas menteri berkenaan, yang kini ditahan di Penjara Tihar di Delhi, mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan Malaysia terbabit.

DoE, sebuah agensi penyiasatan elit di bawah Kementerian Kewangan India, turut mengesan laluan wang haram ke Cyprus, Mauritius dan Singapura.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain