suria

ADUN Seri Muda Fail Notis Usul Mohon Ketepi Pertuduhan Menghasut

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei memfailkan notis usul untuk mendapatkan perintah bagi mengenepikan pertuduhan menghasut terhadapnya.

Shuhaimi, 42, memfailkan permohonan tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, pada pukul 4.10 petang Jumaat, menerusi Tetuan Kanesalingam & Co.

Berdasarkan afidavit sokongan yang diikrarkan beliau, Shuhaimi mendakwa pertuduhan menerbitkan artikel yang menghasut terhadapnya di bawah Akta Hasutan 1948 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dakwa beliau lagi, undang-undang hasutan adalah relik penjajah British yang digunakan untuk menghalang sebarang kritikan terhadap pejuang kemerdekaan yang mana undang-undang tersebut telah dimansuhkan di Britain.

"Saya percaya tujuan Akta Hasutan adalah antara lain untuk menewaskan pemberontakan komunis yang bermula pada tahun 1948," katanya.

Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja itu menambah, tujuan Akta Hasutan yang digubal tidak lagi wujud selepas Parti Komunis menamatkan pemberontakkan dan menyerah diri pada 2 Disember 1989.

"Namun saya menegaskan bahawa sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, Akta Hasutan telah digunakan terhadap ahli parti pembangkang, penulis dan penerbit, aktivis sosial dan sebagainya," katanya.

Selain itu, Shuhaimi juga mendakwa pendakwaan yang dilakukan terhadap beliau adalah bersifat selektif (terpilih) yang mengancam dan menghukum kerajaan secara aman.

Beliau mendakwa, kerajaan mahupun Peguam Negara tidak mengambil tindakan ke atas ahli politik atau individu yang mempunyai kaitan atau menyokong pihak kerajaan atau UMNO mahupun Barisan Nasional.

Antara kejadian yang didakwa Shuhaimi tiada pendakwaan dilakukan melibatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad serta ahli-ahli UMNO.

"Saya menegaskan bahawa pendakwaan tidak dilakukan ke atas kerana mereka adalah daripada parti yang menguasai kerajaan. Oleh demikian, pendakwaan terhadap saya adalah secara selektif dan penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.

Pada 7 Februari lalu, Shuhaimi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menerbitkan artikel menghasut bertajuk 'Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959'.

Artikel itu didakwa diterbitkan di laman blognya, http://srimuda.blogspot.com pada 30 Disember lalu.

Artikel tersebut disiarkan semasa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi sedang hangat diperkatakan dan didakwa menyentuh mengenai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ahli politik yang memenangi kerusi DUN tersebut pada Pilihan Raya Umum 2008 didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pusat Khidmat Rakyat 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning, di sini.

Bagi kesalahan itu, Shuhaimi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Lain