suria

Kereta Api Bukit Bendera Beroperasi Semula Bulan Depan

GEORGE TOWN: Perkhidmatan kereta api Bukit Bendera dijangka beroperasi semula pada pertengahan bulan depan dengan menggunakan koc baru berhawa dingin buatan Switzerland dan menggunakan kuasa elektrik.

Majlis penyerahan perkhidmatan tersebut kepada Perbadanan Bukit Bendera yang terletak di bawah Perbadanan Pulau Pinang (PDC) dilakukan, Sabtu.

Kerja menaik taraf perkhidmatan kereta api yang berusia 87 tahun yang selama ini digerakkan dengan kabel dilakukan awal tahun lalu oleh Kementerian Pelancongan dengan kos RM73 juta.

Selepas menaik taraf, ia kini boleh membawa sehingga 50 penumpang serta mengambil masa 10 minit untuk perjalanan sehala.

"Projek menaik taraf kereta api Bukit Bendera merupakan usaha dan sumbangan kerajaan persekutuan kepada penduduk Pulau Pinang," kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen kepada pemberita selepas majlis penyerahan tersebut.

Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff serta Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Dr Ng berharap kerajaan negeri dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih bermutu dan lebih mesra pelancong selepas projek itu diserahkan kepada Perbadanan Bukit Bendera, yang diwakili pengarahnya Datuk Lee Kah Choon.

Beliau berkata perkhidmatan tersebut mampu menarik seramai 607,198 orang pada tahun 2009 manakala untuk dua bulan pertama tahun 2010, seramai 65,176 orang menggunakannya.

"Kami menjangkakan dengan adanya kereta api baru, jumlah pelancong yang mengunjungi Bukit Bendera akan meningkat empat kali ganda kepada 2.4 juta orang," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih ahli botani tempatan Datuk Seri Lim Chong Keat yang membangunkan sebuah taman di puncak Bukit Bendera.

"Kami telah berbincang cara untuk menjadikan Bukit Bendera sebagai salah satu taman bukit paling indah di rantau ini dan hari ini saya berasa bangga dengan apa yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Chong Keat," katanya.

Sebuah tempat meletak kenderaan lima tingkat turut dibina di perkarangan pintu masuk stesen berkenaan.

Dr Ng turut mencadangkan agar sistem pembayaran tiket baru diperkenalkan dengan mengenakan tarif yang berbeza kepada pemegang MyKad dan rakyat asing.

Lim pula berkata kerajaan negeri akan mengambil masa lebih kurang sebulan untuk mengkaji semua faktor sebelum menentukan tarikh sebenar operasi kereta api itu bermula. - BERNAMA

Artikel Lain