Peniaga Nafi Pukul Pegawai Bomba - Semasa | mStar

Peniaga Nafi Pukul Pegawai Bomba

GEORGE TOWN: Seorang peniaga hari ini menafikan dakwaan bahawa dia telah mencederakan seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang selepas operasi memadamkan kebakaran di Jalan Bukit Dumbar di sini, semalam.

Malik Faizal Abdul Rahim, 35, mendakwa sebaliknya beliau yang dikasari dan dipukul di dahi sehingga terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini selepas kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu.

Malik yang datang ke Biro Bernama di sini Khamis mendakwa kejadian itu berlaku berhampiran tempat tinggalnya dan beliau hanya melihat kebakaran itu dan mahu membantu sekadar yang mampu.

"Selepas (memadamkan) kebakaran itu, seorang pegawai bomba yang memang saya kenal dan tinggal di kawasan berhampiran rumah saya datang ke arah saya dalam keadaan marah sambil berkata "siapa yang marah kat (kepada) bomba, aku nanti pukul tidak kira bangsa.

"Saya hampirinya dan menasihatinya jangan buat bising nanti keadaan akan tegang lagi, (tetapi) tiba-tiba dia tolak saya dan saya yang hampir jatuh memegang tangannya," katanya.

Malik berkata dalam masa yang sama beberapa anggota bomba yang berada berhampiran kawasan itu datang ke arah mereka dan meminta beliau bertenang sedangkan sebenarnya beliau hampir terjatuh.

"Saya bagi tahu mereka (anggota bomba) yang saya bukan nak bergaduh dan dalam keadaan kelam kabut itu, pegawai bomba berusia lingkungan 50-an berkenaan terus tumbuk saya sebanyak tiga kali di bahagian dahi sehingga bengkak dan luka," katanya.

"Saya percaya pegawai bomba berkenaan bertindak sedemikian atas dasar peribadi ekoran mempunyai perselisihan faham dengan saya," katanya.

Katanya, ekoran kejadian itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Jelutong di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menerima dua laporan berasingan daripada Malik dan seorang pegawai bomba dan kes itu disiasat menurut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh.

Akhbar hari ini melaporkan Pegarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Azmi Tamat berkata, seorang pegawai bomba dipukul seorang penduduk selepas operasi memadamkan kebakaran sebuah kilang papan di Jalan Bukit Dumbar di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain