suria

Kerajaan PAS Kedah Didakwa Berdalih Tunai Janji Manifesto

ALOR SETAR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerajaan PAS Kedah tidak perlu bersandiwara lagi tentang dakwaan ia telah melaksanakan 80 peratus daripada janji-janjinya yang dibuat oleh parti itu menjelang pilihan raya umum yang lepas.

Beliau berkata sekiranya benar ia telah melaksanakannya, maka senaraikan sahaja janji-janji berkenaan dan tidak perlu berdalih dengan menyatakan akan mendedahkan perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah pada 4 April ini.

"Berani kerana benar, maka kalau benar dedahkan sekarang. Saya lihat kerajaan negeri cuba memesong isu manifesto kerana mereka sebenarnya sedar tidak mampu untuk melaksanakan apa yang dijanjikan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Ahmad Bashah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Bakar bata, berkaa bahawa pada persidangan dewan itu tahun lepas, beliau bertanya soalan mengenai kenyataan seorang Anggota Exco Kerajaan Negeri dalam sebuah akhbar bahawa PAS telah melaksanakan 80 peratus daripada janji manifestonya, tetapi soalan itu tidak sempat dijawab.

"Dalam jawapan secara bertulis, kerajaan negeri hanya menjawab bahawa jawapan akan diberi kemudian, dan sehingga hari ini saya masih menunggu jawapan berkenaan," katanya.

Ahmad Bashah berkata sekiranya benar kerajaan negeri telah melaksankan manifesto itu, kenapa Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak melenting apabila ditanya wartawan tentang manifesto PAS Kedah.

"Apabila berjumpa dengan masyarakat, mereka bertanya kepada saya apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri sekarang kerana mereka tidak nampak apapun perubahan yang dilakukan.

"Yang dilakukan hanyalah menganjurkan karnival meraikan tiga tahun pemerintahan Pakatan Rakyat yang diadakan pada 10 hingga 14 Mac yang saya difahamkan melibatkan kos yang besar tetapi tiada faedah untuk rakyat," katanya.

Ahmad Bashah berkata berdasarkan penilaian beliau, tidak sampai 10 peratus janji-janji itu yang telah dilaksanakan.

Beliau mencabar kerajaan negeri membuat senarai terperinci janji yang telah dilaksanakan itu. -BERNAMA

Artikel Lain