suria

Kenapa Artis Wanita Suka Bergaduh?

SUDAH lama saya hendak mengulas mengenai perkara ini tetapi saya tunggu masa. Dan pada minggu ini masanya sudah tiba sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang ke-100. Ia disambut pada 8 Mac lalu.

Wanita memang penting di dunia ini apatah lagi dalam kehidupan seseorang lelaki. Dan kerana kepentingan itulah kementerian untuk wanita diwujudkan. Simposium sana sini berkenaan wanita dianjurkan.

Kepentingan wanita itu melangkaui segala-galanya. Malah dalam dunia hiburan pun, artis wanita yang paling diberi keutamaan dan mereka dilihat sebagai penyeri dalam industri seni.

Majalah-majalah hiburan juga turut mengutamakan wanita untuk menjadi penghias muka depannya. Syabas wanita dan artis-artis wanita. Syabas!

Tapi yang tak beberapa nak syabas ialah kacau-bilau dalam dunia hiburan sekarang ini banyak berpunca daripada artis wanita.

Saya senaraikan beberapa kes membabitkan artis wanita antaranya Tizz Zaqyah dengan Fasha Sandha, Abby Abadi dengan Memey Suhaiza, Lisdawati dan Nadia Mustafar, Safura dengan Ifa Raziah dan yang terbaru isu pemberian bunga melibatkan Deja Moss dengan Farahdhiya dan Norish Karman.

Saya teringat pesanan Erra Fazira. Katanya, sebagai artis seseorang itu kena jaga tatatertib kerana mereka menjadi perhatian orang.

Kata-kata Erra itu memang betul tetapi berapa ramai artis wanita kita yang memikirkan apa yang Erra fikirkan? Artis-artis wanita kita gemar sangat menimbulkan masalah remeh. Tak dapat bunga pun boleh jadi isu. Berselisih dan tak tegur pun boleh jadi isu. Malah berebut lelaki pun boleh jadi isu yang besar.

Ketika wanita meraikan sambutan Hari Wanita Sedunia yang ke-100, artis-artis wanita perlulah melihat kepada kelemahan diri mereka sendiri.

Mereka hendaklah berubah seiring dengan kemajuan wanita-wanita lain dalam kerjaya dan kehidupan.

Jangan asyik nak bergaduh atau berperang sesuka hati kerana ia tidak akan mencerminkan kehebatan mereka sebagai seorang wanita yang mempunyai hari istimewa untuk mereka sendiri.

Saya percaya, jika artis wanita kita mementingkan soal maruah dan harga diri, mereka boleh menjadi ikon yang hebat, tidak hanya di pentas lakonan sebaliknya primadona yang akan disanjung tinggi sampai mati.

Sempena sambutan Hari Wanita ini juga, saya berharap kepada semua artis wanita supaya tidak terus berbalah sebaliknya merapatkan semula jurang yang ada demi mengangkat martabat wanita yang begitu disanjung tinggi.

NIEZAM: Cari teman wanita.

Nak bersara? Bersaralah...

Selepas pelakon Rozita Che Wan buat lawak nak bersara, ada seorang lagi pelakon mengumumkan hasrat yang sama. Pelakon itu Azizah Mahzan.

Saya tak terkejut kalau selepas ni ada 10 orang artis lagi berkata mereka nak bersara.

Alasan Azizah, dia buat keputusan itu kerana kecewa dengan skrip dalam drama Spa Qistina. Drama tersebut disiarkan di saluran Astro pada tahun lalu. Skrip itu ditulis oleh Rina Khan.

Kata Azizah, Rina telah menulis skrip yang membuatkan dia nampak bodoh dalam drama itu. Rina pula mempersoalkan, kalau nampak bodoh, kenapa dia sanggup nak berlakon dan ambil skrip yang diberikan?

Saya tak berminat nak mengulas mengenai perang dingin itu. Cuma saya nak perkatakan mengenai artis kita yang tak habis-habis mengugut nak bersara.

Mereka menjadi artis tak ada sesiapa yang paksa. Apabila sampai satu tahap kerana kecewa, mereka mengugut untuk berhenti menjadi pelakon ataupun penyanyi pula. Menjadi artis bukan macam kerja orang makan gaji. Cukup umur 55 tahun perlu bersara.

Dunia lakonan tak ada makna bersara. Selagi boleh berlakon walaupun sudah tua, selagi itulah mereka boleh bekerja.

Jika ada artis membuat keputusan untuk bersara hanya kerana desakan lain, itu mengada-ngada namanya. P.Ramlee pun tak pernah berkata dia nak bersara tetapi industri hiburan yang menolaknya sebelum dia meninggal dunia.

Saya percaya, kalau ada artis yang mengugut nak bersara, percayalah, esok lusa muka dia muncul semula di televisyen.

NIEZAM: Jual laksa selepas 55 tahun.

22 artis hilang wang pencen

SAYA tersentuh hati apabila membaca kenyataan Presiden Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang terpaksa menghentikan wang pencen kepada 22 orang artis sejak November tahun lalu.

Bayaran pencen tu pun tak banyak, RM500 sebulan. Tapi kalau didarab dengan 22 orang, ia menjadi banyak iaitu RM11,000 yang perlu dikeluarkan Karyawan setiap bulan.

Kebanyakan artis yang mendapat bayaran itu terdiri daripada mereka yang tidak lagi boleh berlakon dan juga yang menderita akibat sakit.

Bagi orang yang tak berduit, wang RM500 itu cukup banyak.

Inisiatif Karyawan itu dimulakan sejak tahun 2004 lagi.

Tapi sayang, kerana Karyawan sudah tak ada duit wang pencen untuk artis terpaksa dihentikan segera. Saya melihat ia satu perkembangan yang agak menyedihkan.

Selama ini tak ada persatuan yang dapat membantu artis dengan memberi wang bulanan. Hanya Karyawan yang menjadi pelopor terhadap usaha membantu artis-artis yang menderita akibat kesempitan hidup.

Karyawan terpaksa mengadakan banyak projek untuk mencari dana bagi membantu golongan artis tapi sayang sekali selepas melalui pelbagai kemelut dan perang mulut sesama persatuan, keadaan menjadi parah.

Siapa yang menanggung sengsara kalau bukan artis-artis yang sedang memerlukan pada hari ini?

Sekarang, siapakah yang akan membantu 22 artis yang hilang wang pencen? Kalau Karyawan tak mampu, adakah persatuan seni lain yang boleh membantu?

NIEZAM: Bantu setakat yang mampu.

Artikel Lain