suria

Mayat Seorang Lagi Lelaki Yang Dihanyut Air Deras Ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lagi lelaki, dipercayai rakyat Indonesia, yang dilaporkan hilang bersama-sama dua lelaki lain selepas dihanyutkan air deras ketika melakukan kerja pembersihan di longkang besar berhampiran Kondo Tiara, Segambut petang Isnin lepas, ditemui, Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lembah Pantai, Norizan Abu Bakar berkata, mayat lelaki berpakaian lengkap itu ditemui orang awam kira-kira pukul 8.30 pagi ini di sungai berdekatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam di sini.

"Mayat tersebut ditemui dalam keadaan meniarap di celah-celah batu di dalam sungai itu dan anggota fizikalnya masih baik kini hanya menunggu laporan bedah siasat untuk memastikan lelaki berkenaan adalah salah seorang rakyat Indonesia yang dilaporkan hilang itu," katanya ketika dihubungi.

Norizan berkata, mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Lelaki itu dipercayai antara tiga orang, dipercayai rakyat Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an, yang dilapor hilang selepas dihanyutkan air deras secara tiba-tiba ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan itu Isnin lepas.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, seorang pekerja wanita rakyat Indonesia yang sedang membuang sampah di longkang sama juga hampir dihanyutkan tetapi dia berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang ternampak kejadian itu.

Semalam, mayat seorang lelaki, yang dipercayai mangsa yang dihanyutkan air deras itu ditemui terapung di Sungai Batu berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) iaitu kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian, pada kira-kira 12.30 tengah hari. - BERNAMA

Artikel Lain