suria

Lee Kuan Yew Mengaku Silap Berhubung Integrasi Melayu-Islam Di Singapura

SINGAPURA: Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew mengakui beliau silap tentang integrasi kaum Melayu dan Islam yang begitu baik di Singapura.

Laporan akhbar "The Straits Times" pada Selasa merujuk satu kenyataan yang dikeluarkan bekas perdana menteri itu malam tadi berhubung kenyataannya dalam buku terbarunya "Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going", dan reaksi yang timbul berikutan kenyataannya.

"Hard Truths adalah sebuah buku berdasarkan kepada siri temu ramah selama 32 jam dalam tempoh masa dua tahun," kata beliau.

"Saya telah membuat satu kenyataan mengenai integrasi umat Islam dengan komuniti lain pada dua atau tiga tahun lepas. Menteri-menteri dan Anggota Parlimen, kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu, sejak itu memberitahu saya bahawa Melayu Singapura sebenarnya mengambil usaha-usaha khusus untuk berintegrasi dengan masyarakat yang lain, terutamanya selepas 9/11, dan bahawa apa yang saya nyatakan itu adalah ketinggalan zaman.

"Saya mengaku silap. Saya harap trend ini (integrasi) akan berterusan pada masa hadapan," kata Lee.

Buku itu, berasaskan kepada siri temu bual yang diberikan oleh Lee kepada sepasukan tujuh wartawan daripada The Straits Times, diterbitkan oleh Straits Times Press dan dilancarkan pada 21 Januari. - BERNAMA

Artikel Lain