suria

Jangan salahkan sistem jika gagal mendidik anak

Remy Ishak
Remy Ishak
Remy Ishak

SAYA bukan orang kuat politik dan tidak menjadi ahli mana-mana pertubuhan politik. Bagaimanapun saya tetap mengikuti perkembangan politik negara dan sentiasa tidak melepaskan peluang untuk mengundi setiap kali adanya pilihan raya.

Ini kerana saya merasakan saya seorang yang bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang saya percaya.

Saya tidak mahu bercakap soal politik. Cuma saya hendak memberitahu bahawa saya gembira dan bersyukur kerana dilahirkan di bumi Malaysia yang aman damai berbanding di negara-negara lain.

Cuma saya agak tertanya-tanya kenapa apabila ada artis yang menyertai politik, sudah mula kecoh macam ayam bertelur sebiji, riuh sekampung.

Saya tidak faham dengan mentaliti orang yang macam ini. Maaf ya kalau ada yang terasa hati. Saya agak kurang senang apabila artis berkenaan menyalahkan sistem pendidikan, itu dan ini yang kononnya gagal untuk membentuk anak-anak supaya kenal Tuhan ataupun menjadi manusia yang lebih baik.

Sistem pendidikan di negara kita telah dibuat dengan baik. Sistem pendidikan juga tidak mengajar anak-anak untuk menjadi jahat, menjadi pencuri, perogol ataupun putar belit.

Tetapi bapa atau ibu kepada anak-anak sebenarnya yang mencorakkan masa depan mereka.

Anak-anak dilahirkan seperti kain putih. Diri mereka bersih tetapi menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa untuk membentuk mereka.

Artis berkenaan bimbang dan khuatir anaknya tidak menjadi insan yang dia harapkan. Maka dia menyalahkan sistem pendidikan. Dia sepatutnya menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal mendidik anak-anaknya dengan betul. Yang lebih melucukan bila “sudah insaf”, satu dunia jadi tak betul pada kaca matanya. Sistem pendidikan kita telah melalui pelbagai peringkat penambahbaikan. Ibu dan bapa kita dulu juga belajar dalam dunia pendidikan yang banyak kekurangan tetapi ramai yang berjaya menjadi manusia yang sempurna. Semuanya hasil didikan keluarga di rumah.

Saya menerima banyak e-mel daripada pembaca yang kecewa dengan kenyataan artis ini. Selepas menyertai politik, ada saja yang tak kena. Sepatutnya dia berusaha memperbaiki dirinya tanpa melihat keburukan orang lain.

Seorang pembaca berkata, kalau artis tu sakit, jangan salahkan ubat diberikan doktor tetapi salahkan diri sendiri kerana tidak mahu makan ubat.

NIEZAM: Cari ubat hati yang luka.

Syabas Remy Ishak

KHAMIS lepas hero Malaya, Remy Ishak, datang ke pejabat saya. Sebenarnya sudah dua tahun saya tak bertentang mata dengan Remy. Kalau ternampak pun kadang-kadang buat-buat tak nampak sebab mata saya rabun-rabun ayam.

Saya tahu Remy terasa hati dengan teguran saya tak lama dulu. Biasalah, artis dan wartawan memang seperti itu, macam bapa dengan anak, suami dan isteri.

Ketika di dalam lif, Remy meluahkan perasaan kepada saya. Kata Remy dia kecil hati dengan tulisan saya sebelum ini.

Saya menulis teguran David Teo terhadap Remy. David Teo menganggap Remy artis baru yang menyombong dan David tak mahu ambil dia berlakon di bawah produksi MIG.

Bagi saya isu itu tak besar mana pun tetapi saya tahu semasa Remy membaca artikel berkenaan, “mood” dia berubah sampai “tak lalu” makan di lokasi penggambaran. Peristiwa itu disampaikan oleh seorang kru yang melihat Remy termenung di satu sudut.

Dan pada Khamis lalu, Remy meluahkan isi hatinya. Saya cuma tersenyum saja walaupun muka Remy agak serius macam harimau hendak menerkam (hehee).

Saya kata kepada Remy satu perkataan sahaja. Kritik tandanya sayang. Orang yang kena kritik adalah orang yang selalu diingati. Remy sepatutnya bersyukur kerana orang masih lagi ingatkan dia walaupun dalam bentuk kritikan.

Kerana kritikan itu dapat membina jenama seorang Remy Ishak untuk menjadi pelakon yang lebih baik. Kalau tak ada kritikan, ramai artis kita yang hanyut dalam angan-angan sendiri.

Artis kita ramai yang macam kisah mat jenin. Panjat pokok kelapa dan berangan nak jadi orang kaya. Akhirnya mati terjatuh pokok kelapa.

Sebelum Remy balik, saya bersalaman dengan dia. Saya meminta maaf jika ada benda yang menyebabkan dia terluka.

Tetapi sebelum itu saya sempat mengucapkan terima kasih kepada Remy kerana dia seorang yang berani untuk berterus terang dan meluahkan rasa hatinya dengan jujur.

Tak semua artis yang berani menjelaskan situasi dan perkara yang sebenar ketika mereka berkecil hati.

Ramai artis yang depan wartawan nampak baik, di belakang wartawan mereka putar belit cerita termasuklah menulis bukan-bukan di dalam blog, Twitter dan Facebook.

Remy tak ada semua itu. Tak ada Twitter, tak ada Facebook tetapi dia ada sikap mahu berterus terang.

Saya tak marahkan Remy tetapi saya hormat dengan artis yang macam itu. Tak takut untuk berjumpa bagi menjelaskan rasa tidak puas hati. Saya hormat dengan keberanian Remy.

Tapi awas, tulisan ini bukan bertujuan untuk mengipas tetapi ingat, kalau selepas ini Remy buat salah, saya tetap akan tegur dia.

NIEZAM: Bimbang artis baru yang lupa diri.

Artikel Lain