suria

Cadangan Memindahkan Lokasi Kem Latihan Tentera Di Kota Belud Akan Dibincangkan

KOTA BELUD: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan berbincang dengan Kementerian Pertahanan mengenai cadangan memindahkan kem latihan tentera atau Kem Paradise dekat sini ke lokasi yang lebih sesuai.

Timbalan Menterinya Datuk Hasan Malek berkata latihan ketenteraan di lokasi tersebut tidak lagi sesuai memandangkan persekitarannya merupakan kawasan kampung.

Beliau mencadangkan agar kawasan kem itu dijadikan penempatan penduduk dan kawasan mengusahakan kegiatan pertanian.

"Di samping itu, kawasan itu yang kaya dengan keindahan alam semula jadi boleh dimajukan sebagai kawasan industri pelancongan," katanya kepada pemberita selepas melawat projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kampung Lasau Podi di sini, Ahad.

Sementara itu, Hasan berkata projek menaik taraf jalan raya di Kampung Lasau Podi sejauh 15km yang menelan belanja RM25.5 juta siap dibina dan akan dimanfaatkan oleh penduduk sekitar kampung tersebut.

Beliau berkata kejayaan melaksanakan projek tersebut merupakan hasil kerjasama wakil-wakil rakyat dan penjawat awam yang berkenaan di kawasan tersebut yang sentiasa turun padang untuk meninjau keperluan utama rakyat.- BERNAMA

Artikel Lain