suria

Pelancong Asing Tidak Puas Hati Perkhidmatan Di Barisan Hadapan

KOTA BHARU: Ramai pelancong asing yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan di barisan hadapan yang terdapat di negara ini, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata kebanyakan pekerja barisan hadapan dikatakan tidak mesra dan memberi layanan yang buruk kepada mereka ketika melancong ke negara ini.

"Saya berkata begini kerana pihak kementerian menerima banyak aduan berkenaan yang diajukan oleh pelancong, hanya kerana sikap pekerja barisan hadapan industri pelancongan kita yang telah melayan pelancong dengan buruk.

"Ingin saya tekankan, pekerja barisan hadapan tidak kira pemandu teksi, agensi pelancongan, jurujual tiket kapal terbang, penjaga kaunter di hotel mahupun rumah penginapan dan juga mereka yang bekerja di tempat tarikan pelancongan, mereka ini melambangkan imej negara, justeru mereka perlu menghormati pelancong-pelancong dan layanlah mereka dengan mesra," katanya.

Beliau berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di sini, Jumaat.

Dr Ng berkata sehubungan itu pekerja barisan hadapan perlu memandang serius tentang perkara tersebut kerana mereka mewakili rakyat Malaysia dan menentukan sama ada industri pelancongan di negara ini berjaya dijual atau sebaliknya.

Beliau juga berkata pihaknya menyasarkan lapan pasaran baru berhubung kehadiran pelancong asing tahun ini.

"Tahun ini kita mensasarkan pasaran baru seperti China, India, Australia, Timur Tengah, Rusia, Belgium, Belanda dan juga Britain.

"Untuk semua pelancong asing ini, saya berharap mereka bercuti di Malaysia sekurang-kurangnya lapan hari, satu tempoh yang sesuai bagi mereka mengenali dan betul-betul menikmati keindahan negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain