suria

Tiga Termasuk Ibu Tunggal Ditahan Jual Air Ketum

BESUT: Tiga termasuk seorang wanita ditahan polis setelah dipercayai terbabit dengan penjualan air ketum, kata Ketua Polis Daerah Besut, Supritenden Kamaruddin Mohd Zakaria.

Beliau berkata, kesemua mereka yang berumur antara 22 dan 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Jenayah Narkotik yang melakukan Operasi Tapis di Kampung Kenak, di sini, Ahad.

Katanya, dalam serbuan di sebuah rumah di kampung berkenaan, pihaknya merampas 460 bungkusan air ketum bernilai RM1,380 yang dipercayai untuk dipasarkan sekitar daerah ini dengan harga RM3 sebungkus.

Kamaruddin berkata, rumah berkenaan pernah diserbu pertengahan tahun lalu dan pihaknya pernah merampas sejumlah air daun ketum siap diproses.

"Ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek termasuk wanita yang merupakan ibu tunggal berumur 42 tahun itu mendapati mereka positif dadah jenis ethamphetamine," katanya kepada Bernama.

Kamaruddin berkata, semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain