suria

Lelaki Bawa Tiga Pistol Ditahan Di Cheras

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki bersama tiga pucuk pistol yang dipercayai untuk dijual atau disewa di sebuah kedai 24 jam di sebuah pusat perniagaan di Cheras, Selasa lepas.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan selepas polis mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai seorang lelaki yang berlegar di kedai itu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata tiga pistol itu - jenis Fratelli Tanfoglio automatik buatan Itali, sepucuk buatan Republik Czech dan .38 Revolver buatan Brazil - ditemui dalam beg galas yang dibawa lelaki terbabit.

"Kami percaya lelaki terbabit bukan mahu merompak kedai itu, tetapi berkemungkinan sedang menunggu seseorang untuk menyerahkan pistol-pistol itu bagi tujuan sewa atau dijual," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Jumaat.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 9.20 pagi itu, lelaki terbabit cuba melarikan diri apabila dihampiri polis dengan melempar secawan mi segera yang sedang dimakannya ke arah anggota polis.

Hasil siasatan, lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes rompak pada tahun 2004 dan kesalahan mengikut Ordinan Darurat, kata Zulkifli yang tidak menjelaskan kesalahan di bawah Ordinan Darurat itu.

Sementara itu, Zulkifli berkata polis menahan seorang wanita rakyat Thailand berusia 34 tahun dalam serbuan di sebuah rumah pangsa di Salak Park, di sini Ahad lepas, dan menemui sepucuk pistol jenis Colt, sepucuk pistol tiruan, tujuh peluru hidup dan dua bilah parang panjang dalam sebuah bilik di rumah itu.

Turut dirampas dalam serbuan pada pukul 3.15 pagi itu ialah pelbagai jenis dadah termasuk syabu seberat 66 gram, heroin (lima gram), ganja (37 gram), 144 biji pil eramin 5 dan 81 biji pil ecstasy.

Zulkifli berkata wanita yang menyewa di rumah itu dan tinggal di bilik bersebelahan didapati positif dadah dan polis turut menemui syabu seberat 0.6 gram yang disimpan dalam pakaiannya.

"Kami percaya kesemua dadah itu untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk dijual," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Sulaiman Mohd Ali, 33, dan beralamat terakhir di Desa Tasik, Sungai Besi bagi membantu siasatan kes itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain