suria

Empat Lelaki Myanmar Ditahan Bantu Siasatan Kematian Dua Wanita

MELAKA: Polis menahan empat lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan kes dua wanita negara itu ditemui mati dipercayai dibunuh di dalam sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Malim Permai, dekat sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata keempat-empat lelaki berusia antara 19 dan 34 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Malim antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi ini.

"Keempat-empat suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Dalam kejadian itu, polis menemui dua mayat wanita itu berusia 30-an dalam keadaan berlumuran darah di ruang berasingan dalam rumah berkenaan pada kira-kira pukul 2.15 petang.

Seorang daripada mereka ialah ejen pekerja asing yang juga isteri kepada tuan rumah itu dan seorang lagi pembantu rumah. Turut ditemui sebilah pisau dan tukul besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Anak ejen pekerja asing itu yang berusia enam bulan ditemui di sebuah bilik di tingkat atas rumah itu tanpa dicederakan.- BERNAMA

Artikel Lain