suria

BN Mahu Calon Boleh Menang Dalam Pilihan Raya Akan Datang

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad berkata beliau akan menunaikan haknya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk mengetengahkan calon-calon berpotensi yang mempunyai kedudukan dalam parti bagi memastikan hanya mereka yang boleh membawa kemenangan menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan para pemimpin BN Sarawak bagi mendapatkan konsensus berhubung prinsip calon-calon yang boleh membawa kemenangan terutama di kalangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memandangkan pilihan raya negeri itu akan diadakan tidak lama lagi.

"Ini merupakan satu prinsip yang sangat penting sebab kalau kita meletak calon, itu bererti calon itu mewakili BN dan kita perlu calon itu menang sebab kita nak membentuk kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen SUPP bertemakan "Berjuang Untuk Rakyat" di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Wujud keperluan untuk memastikan bahawa calon-calon yang dipilih juga diterima rakyat di kawasan pilihan raya kerana ia merupakan satu-satunya cara bagi SUPP untuk kekal relevan dalam usaha menawan semula lapan daripada 19 kerusi yang hilang dalam pilihan raya negeri pada 2006, katanya.

Berdasarkan prinsip itu, beliau berkata semua parti komponen BN di negeri ini perlu menjalankan penilaian bukan dari sudut kedudukan calon dalam parti semata-mata tetapi berfikir lebih mendalam supaya ada opsyen atau pertimbangan yang lain.

Sebelum itu, Najib memberitahu 6,000 perwakilan yang hadir bahawa beliau mahu SUPP mengemukakan nama-nama mereka yang boleh menang dalam pilihan raya akan datang.

"Tolong beri saya calon-calon yang boleh menang, saya tidak peduli sama ada mereka tua, baru atau pertengahan umur asalkan mereka boleh menang."

Dalam usaha menghidupkan semula parti dan membariskan muka-muka baru, beliau berkata SUPP, yang kebanyakannya mewakili kawasan bandar, perlu untuk berhubung, memahami dan menyelami kehidupan rakyat dan melindungi kepentingan mereka.

Beliau berkata kepimpinan BN akan menyokong dan memberi ruang yang diperlukan kepada SUPP asalkan ia wajar dan matang dalam kerjanya tanpa mengeluarkan kenyataan yang mungkin menyinggung parti-parti komponen negeri yang lain.

"Cakap dengan saya atau Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Kita akan menyelesaikan banyak masalah termasuk isu tanah yang mana premium tanah Sarawak merupakan yang termurah di negara ini.

"Tapi anda (SUPP) tidak boleh terus mendesak tanpa memberi respons. Anda mesti respons kerana kita tidak boleh terus memberi tanpa mendapat sebarang sokongan untuk BN," katanya yang jelas merujuk kepada permintaan seperti lebih banyak peruntukan pusat bagi sekolah Cina dan mubaligh, industri kecil dan sederhana dan tanah negeri bagi tujuan pertanian yang dibawa oleh Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan.

Artikel Lain