suria

Pengurus Pusat Hiburan Ditahan Bersama 21 Warga Asing Tanpa Permit

IPOH: Polis menahan seorang pengurus sebuah pusat hiburan kerana mengambil pekerja warga negara asing tanpa permit di sebuah pusat hiburan Bandar Baru Medan Ipoh di sini malam Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata dalam operasi yang bermula pada pukul 10 malam, polis turut menahan 15 wanita warga China dan enam wanita warga Vietnam di pusat hiburan itu.

Kesemua mereka berusia 18 hingga 30 tahun dan didapati melanggar syarat pas, manakala seorang daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Mohd Dzuraidi berkata pengurus pusat hiburan berusia 40-an itu dan kesemua pekerja terbabit ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Wanita itu, katanya akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit, sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

"Pengurus pusat hiburan itu pula akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain