Sultan Selangor Arah Gelaran 'Datuk Seri' Khir Toyo Digantung - Semasa | mStar

Sultan Selangor Arah Gelaran 'Datuk Seri' Khir Toyo Digantung

PETALING JAYA: Penyerahan semula Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ kepada bekas Menteri Besar, Dr Mohamad. Khir Toyo sebenarnya adalah titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri dan bukannya penyerahan sementara seperti yang didakwa.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi memaklumkan bahawa, keputusan berkenaan telah dibuat oleh baginda selepas berunding dengan Dewan Diraja Selangor pada 11 Januari lalu yang telah memutuskan supaya darjah kebesaran itu digantung.

"Penggantungan gelaran dan penggunaan Darjah Kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan Yang Berhormat tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurutnya, keputusan itu berikutan pertuduhan rasuah terhadap bekas menteri besar itu di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Selain Mohamad Khir, darjah kebesaran Pengarah Ditamas, Shamsuddin Haryoni yang juga didakwa dalam kes yang sama, turut digantung.

"Sultan Selangor membuat keputusan di atas setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kedua-dua mereka ini adalah kesalahan serius yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Semalam Mohd. Khir mendakwa beliau telah memulangkan sementara darjah kebesaran berkenaan tanpa menyebut tindakannya itu atas arahan sultan.

Beliau berkata pemulangan gelaran berkenaan bagi menghormati darjah kebesaran itu serta mengelakkan ia terpalit dengan keaiban berikutan kes tuduhan salah guna kuasa di mahkamah.

"Pemulangan semula pingat ini bagi mengelakkan darjah kebesaran negeri turut terpalit dengan sebarang keaiban sepanjang pertuduhan dan perbicaraan yang akan berlangsung," katanya menerusi blognya www.drkhir.com.

Beliau mendakwa menghantar surat kepada Sultan Selangor pada pertengahan Disember lalu menyatakan hasrat untuk memulangkan darjah kebesaran itu.

Beliau berkata Dewan Diraja juga telah memperkenankan pemulangan semula pingat tersebut dan meminta semua media serta penganjur program hendaklah menggugurkan gelaran 'Datuk Seri' dari pangkal namanya dan menggunakan nama Dr Mohamad Khir Toyo sahaja.

Pada 6 Disember lalu, Mohamad Khir didakwa memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta daripada sebuah syarikat.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan perbicaraan kes itu selama tiga minggu bermula 6 hingga 24 Jun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tenang Jadi Medan Pertarungan Dua Chua

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

Artikel Lain

Bapa Wan Azizah meninggal dunia