ADUN Sri Muda Tidak Hadir Ke IPD Shah Alam Atas Nasihat Peguam - Semasa | mStar

ADUN Sri Muda Tidak Hadir Ke IPD Shah Alam Atas Nasihat Peguam

SHAH ALAM: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafiei tidak hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini bagi memberi keterangan berkaitan laporan yang mendakwa beliau menghina Sultan Selangor, atas nasihat peguam.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata peguam PKR memutuskan Shuhaimi hanya akan hadir memberikan keterangan sekiranya menerima notis mengikut Seksyen 111, Kanun Tatacara Jenayah.

"Setakat ini tidak ada notis rasmi dikeluarkan bagi mewajibkan Suhaimi datang ke balai...sesiapa yang diperlukan untuk siasatan kami sedia bekerjasama," katanya kepada pemberita di luar IPD Shah Alam di sini, Selasa.

Selain Tian Chua, beberapa penyokong Shuhaimi turut berkumpul di luar IPD Shah Alam di sini sambil membawa kain rentang dan melaungkan sokongan terhadap Adun berkenaan.

Ditanya mengenai lokasi Shuhaimi ketika ini, beliau berkata wakil rakyat itu berada di dalam negeri dan sibuk dengan tugasan hariannya. Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika dihubungi berkata, notis mengikut Seksyen 111 itu hanya dikeluarkan sekiranya seseorang saksi itu enggan atau tidak hadir ke balai seperti yang diarahkan.

Beliau berkata polis berhak memanggil saksi bagi direkod kenyataan atau rakaman pernyataan mengikut Seksyen 112, Kanun Tatacara Jenayah tetapi sekiranya tidak hadir baru notis mengikut Seksyen 111 dikeluarkan.

"Dia yang berjanji hendak datang tetapi tidak datang, jadi sekarang baru kita (akan) guna Seksyen 111, namun Seksyen 111 itu bukan bermakna dia salah, ia untuk rekod kenyataan, kita bukan hendak tangkap dia dan kalau kita hendak tangkap, buat apa kita keluarkan notis," katanya.

Mengenai dakwaan Shuhaimi mengenai kedatangan anggota polis ke rumahnya yang disifatkannya seolah-olah cuba mengugutnya, Tun Hisan menjelaskan anggota polis pergi ke rumah Adun itu bagi memaklumkan yang beliau perlu hadir ke balai untuk memberikan keterangan.

"Anggota polis cuma pergi ke rumahnya kerana dia sebelum ini berada di Bandung, Indonesia dan kita pergi ke rumahnya sebab hendak tanya bila dia hendak datang ke balai.

"Apabila sudah ada 25 laporan polis dibuat terhadap Shuhaimi, polis mesti menjalankan siasatan dan ini bukan mengenai politik atau tidak, kaya atau miskin atau bangsa apa, kita hanya pandang dari segi undang-undang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

54 OKU Terselamat Daripada Kebakaran Di Ipoh

Artikel Berikut

AirAsia Siasat Insiden Pesawat Terbabas

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

Artikel Lain