suria

Mangsa Kebakaran Dilarang Membina Rumah Di Tapak Kebakaran

GUA MUSANG: Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang mengeluarkan amaran kepada mangsa kebakaran tidak membina rumah di kawasan setinggan termasuk tapak kebakaran, di Jalan Sungai Chinda, di sini Jumaat.

Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid berkata serentak itu, pemantauan akan dilakukan untuk memastikan tidak berlaku pencerobohan dan jika ada yang berdegil tindakan tegas akan diambil serta merta.

"Amaran keras terpaksa dikeluarkan kerana bimbang ada penduduk yang mengambil kesempatan berbuat demikian," katanya, Sabtu.

Seramai 50 keluarga yang mendiami kawasan setinggan di Jalan Sungai Chinda di sini kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran awal pagi, yang terburuk pernah berlaku di negeri ini.

Beliau berkata kawasan kebakaran itu sudah menjadi milik Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dan kertas kerja akan dilakukan untuk membina taman perumahan dengan usahasama pemaju tidak lama lagi.

Wan Mustapha menegaskan kawasan setinggan lain sekitar bandar ini juga akan dibuat penelitian semula bagi mengelakkan berlaku kejadian serupa.

"Tengoklah kita buat semakan itu berdasarkan status mereka tinggal di kawasan terbabit kerana kita sebelum ini sudah memberi tapak rumah di Kampung Baru Tanah Puteh, tetapi ada di antara mereka gagal membina rumah sendiri.

"Jika itu yang berlaku, kita menasihatkan mereka supaya membina rumah dengan segera dan kita juga dapat tahu ada di antara mereka yang telah berpindah memberi sewa kepada orang lain," katanya.

Wan Mustapha, yang juga Yang Dipertua MDGM, berkata masalah setinggan tidak akan selesai selagi ada penduduk yang berdegil enggan berpindah atau rumah asal mereka di kawasan itu dijual kepada orang lain bagi mendapat keuntungan.

"Seperti kawasan setinggan tempat kejadian kebakaran itu, kita akan siasat sama ada mangsa terbabit sudah mempunyai tapak rumah di Kampung Tanah Puteh atau tidak sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain