suria

Polis Terengganu Tahan Enam Lelaki, Seorang Wanita Dan Rampas 67 Botol Heroin

KUALA TERENGGANU: Taktik terbaru dalang sindiket mengedar dadah di sini yang meletakkan kenderaan mereka dekat dengan surau bagi mengaburi mata pihak berkuasa, tidak menjadi apabila polis berjaya merampas sejumlah dadah dan menahan enam lelaki serta seorang wanita di sebuah rumah berhampiran dengan sebuah surau di Kampung Losong Haji Awang, di sini, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supritendan Roslan Abd Wahid berkata tangkapan itu bermula dengan intipan ke atas seorang lelaki berumur 36 tahun yang berasal dari Bachok, Kelantan.

Beliau berkata lelaki itu cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis, namun selepas berlaku pergelutan, dia berjaya ditangkap berhampiran dengan rumah itu pada kira-kira pukul 9.45 malam.

Katanya lelaki itu kemudiannya membawa polis ke sebuah kereta jenis Proton Perdana yang diletakkan di sebuah surau kira-kira 50 meter dari rumah berkenaan, dan hasil pemeriksaan polis menemui 67 botol heroin seberat 311.6 gram, dianggar bernilai hampir RM106,000 di dalam kereta itu.

"Suspek dipercayai menjadi penagih dan menjalankan aktiviti mengedar dadah sejak 10 tahun lalu dan dia sering keluar masuk ke negara jiran bagi mendapatkan bekalan dadah," katanya dan menambah wang tunai hampir RM3,200 dipercayai hasil kegiatan penjualan dadah turut dirampas.

Roslan berkata lima minit kemudian, polis menahan enam rakan lelaki itu termasuk seorang wanita yang dipercayai anggota kegiatan mengedar dadah yang bersembunyi di dalam rumah itu.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan polis merampas 800 biji pil metamphetamin yang bernilai RM24,000. Semua suspek yang berumur antara 24 dan 36 tahun itu kini direman sehingga 11 Januari bagi membantu siasatan," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain