suria

Kerani Ditemui Mati Dengan Tangan Cedera Parah

KUALA LUMPUR: Mayat seorang kerani wanita ditemui dengan kesan cedera parah di tangannya di tempat letak kereta tingkat dua, Blok 30 Kondominium Bukit Indah di Pandan Perdana di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata wanita yang berumur 28 tahun itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan kondominium berkenaan yang sedang meronda di kawasan itu.

"Mangsa yang dijumpai lengkap berpakaian itu turut mengalami patah kaki.

"Tiada sebarang senjata tajam ditemui berhampiran wanita itu dan kita percaya kes ini tiada unsur jenayah," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Taman Setapak Jaya telah jatuh dari tingkat atas blok itu.

Sementara itu, Amiruddin berkata keterangan daripada seorang rakan mangsa telah diambil untuk siasatan lanjut.

"Rakan mangsa memberitahu semasa kejadian, beliau menghantar mangsa ke kondominium tersebut untuk bertemu rakannya.

"Setelah menunggu selama beberapa jam, mangsa tidak turun dan dia mencari mangsa namun dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan tentang penemuan mayat wanita dan apabila dilihat mayat itu adalah rakannya," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan kes disiasat di bawah kematian mengejut (SDR), katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain