suria

Eksekutif Akaun Didakwa Guna Dokumen Palsu RM5.2 Juta

SHAH ALAM: Seorang eksekutif akaun merangkap pengurus sumber manusia menangis di Mahkamah Sesyen di sini Khamis, semasa lapan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bernilai RM5.2 juta terhadapnya dibacakan.

Yusma Norul Yusob, 30, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Morisham Wan Yaakob.

Wanita yang telah berkahwin itu didakwa melakukan kesalahan itu melalui tiga keping cek CIMB Bank Berhad bertarikh antara 1 dan 2 April 2009 melibatkan jumlah RM30,000, RM18,500 dan RM10,000 setiap satu.

Tertuduh juga didakwa telah menggunakan dokumen palsu iaitu Borang Permohonan Kiriman Wang antara 7 April dan 24 April tahun yang sama.

Semua kesalahan itu dilakukan di tempat kerjanya, iaitu di Bank CIIMB Cawangan Menara CIMB, nombor 2, Jalan Majlis, Seksyen 14, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya S. Lavainyamalar dan Lim Yoi Ping mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lavainyamalar menawarkan jaminan RM2 juta dengan dua orang penjamin atas alasan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan melibatkan jumlah yang sangat besar.

“Tertuduh telah menggunakan jawatannya untuk melakukan kesalahan seperti yang didakwa,” tambahnya.

Beliau juga memaklumkan, kesalahan yang dilakukan melibatkan pihak ketiga menerusi transaksi internet.

Bagaimanapun, peguam Saleh Ahmad yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah mempertimbangkan jaminan tersebut yang tidak mampu untuk dijelaskan oleh ibu tertuduh yang berhasrat menjadi penjamin.

“Tertuduh kini tidak lagi bekerja dan buat masa ini merupakan seorang suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan. Ibu tertuduh sudah tua dan bapanya hanya melakukan kerja-kerja kampung.

“Saya mohon direkodkan bahawa tertuduh tidak memperoleh sedikit pun wang yang dikatakan terlibat dalam pertuduhan hari ini,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa anak guamnya mengalami masalah kesihatan dan perlu menjalani pemeriksaan dari masa ke semasa.

Wan Mohd Norisham membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM100,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan syarat tambahan untuk tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen pada 19 Januari ini.

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain