suria

Polis Tumpas Kumpulan Warga Myanmar Terlibat Dalam Kegiatan Pecah Masuk Premis Perniagaan

KUALA LUMPUR: Sekumpulan lima lelaki warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah masuk premis perniagaan di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lepas berjaya ditumpaskan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner (ACP) Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kelima-lima mereka berusia antara 25 dan 32 tahun ditahan dalam dua tangkapan di kawasan Jalan Kuchai Lama pada 28 Disember lepas.

"Pihak polis pada mulanya berjaya menahan seorang suspek ketika dia memecah masuk sebuah syarikat perkapalan di kawasan terbabit kira-kira 4.54 pagi 28 Disember lepas," katanya pada sidang media, di sini, Isnin.

Wan Abdul Bari berkata susulan tangkapan itu, polis menahan empat lagi rakan senegara suspek kira-kira pukul 2.30 petang pada hari yang sama di sekitar Jalan Kuchai Lama.

Katanya lelaki pertama ditangkap di premis itu selepas polis menerima laporan pengurus syarikat perkapalan tersebut bahawa loceng penggera keselamatan di pejabatnya berbunyi.

"Polis terus mengepung premis pejabat berkenaan sejurus menerima laporan itu dan mendapati lelaki berkenaan berada di dalam kedai tersebut yang berselerak, dan menemui kesan umpil pada tingkap premis itu," katanya.

Wan Abdul Bari berkata polis menemui playar dan pemutar skru pada lelaki terbabit yang dipercayai digunakannya untuk memecah masuk, selain dokumen pengenalan dirinya.

Sementara itu, empat rakan lelaki terbabit yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditahan bersama barang-barang yang dipercayai dicuri seperti projektor mini, komponen komputer, cakera padat serta komputer riba yang dianggar bernilai RM15,000, yang dilaporkan hilang dari sebuah premis perniagaan di Uptown Damansara baru-baru ini.

"Kesemua mereka direman sehingga 14 Jan depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata dengan tangkapan tersebut, polis percaya mereka telah berjaya menyelesaikan lebih 10 kes pecah masuk di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang tukang perabot bersama seorang rakannya ditahan di sebuah kedai makan di Subang Jaya pada 26 Disember lepas kerana dipercayai terlibat dalam kes mencuri peralatan elektrik di sebuah kondominium di Desa Taman Sentosa pada November lepas.

Wan Abdul Bari berkata kedua-dua rakyat tempatan yang berusia 21 dan 50 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

"Polis turut merampas sebuah peti ais, dapur gas, televisyen dan mesin basuh yang dipercayai dilarikan dari kediaman seorang pereka hiasan dalaman di kawasan berkenaan pada Oktober lepas. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain