suria

Cadangan Presiden MIC Terima Kembali Anggota Dipecat Tunjukkan Sikap Terbuka

KUALA LUMPUR: Kesediaan Presiden MIC Datuk G. Palanivel untuk menerima kembali bekas anggota parti yang dipecat sebelum ini membuktikan sikap keterbukaan beliau dalam usaha mengukuh dan menarik kembali sokongan akar umbi masyarakat India.

Ketua Penerangan parti P. Kamalanathan berkata langkah itu juga menunjukkan Palanivel mengamalkan sikap 'inclusiveness' seperti yang disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ramai antara mereka (yang dipecat) sebelum ini, sudah pun membayangkan keinginan untuk kembali ke parti setelah MIC menerima kepimpinan baru, dan mereka pun telah menerima hukuman tindakan displin yang dikenakan ke atas mereka sebelum ini," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Bagaimanapun katanya, sebelum langkah itu dilaksana Palanivel harus merujuk kepada perlembagaan parti.

Perlembagaan MIC memperuntukkan seseorang yang dipecat perlu melalui tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun sebelum boleh diterima masuk semula ke dalam parti itu.

Semalam, Palanivel, yang mengantikan Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden bulan lepas, mengulangi pendiriannya untuk memaafkan kesemua anggota dan pemimpin MIC yang pernah dipecat dan membuka semula pintu parti komponen Barisan Nasional (BN) itu kepada mereka.

Antara mereka yang dipecat termasuklah Kumar Aamaan dan K.P Samy yang merupakan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC, serta Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat V. Mugilan yang juga Ketua Pemuda MIC Selangor dan Hulu Selangor.

Semasa di bawah kepimpinan Samy Vellu selaku presiden selama 31 tahun, ramai pemimpin yang tidak sehaluan dengan beliau dipecat dan ada di antaranya menubuhkan parti baru seperti Indian Progressive Front dan Malaysian Indian United Party.

Sementara itu, Mugilan yang juga pengasas Gerakan Anti Samy (GAS), ketika dihubungi Bernama berkata beliau memandang positif terhadap pendirian Palanivel tersebut.

Bagaimanapun, Mugilan enggan mengulas lanjut dan berkata beliau memerlukan masa untuk berjumpa dengan kesemua mereka yang pernah dipecat.

"Saya berjanji akan membuat kenyataan media berhubung perkara ini sesudah persetujuan dicapai antara antara saya, bekas-bekas ahli dan parti itu.

Bulan lepas, Palanivel berjanji akan melakukan apa sahaja demi mengukuhkan parti, termasuk bekerjasama dengan pemimpin India dari pakatan pembangkang demi kebaikan komuniti tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain