suria

Polis Ipoh Keluarkan 203 Saman Atas Pelbagai Kesalahan

IPOH: Polis Trafik Ipoh mengeluarkan 203 saman kerana 206 kesalahan ke atas pemandu pelbagai kenderaan dalam Ops Ambang Tahun Baru 2011 bermula 6 petang semalam hingga 7 pagi ini.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh DSP Mohd Rodzi Rejab berkata antara kesalahan yang dilakukan oleh pemandu terbabit ialah tidak memiliki lesen memandu (36), cukai jalan tamat tempoh (16), tidak mempunyai insurans (2), lesen memandu tamat tempoh (12), mengubah suai ekzos (5), tidak meletakkan huruf L dan P (37).

Selain itu, kesalahan melanggar lampu merah (3), tidak memakai topi keledar (1), nombor pendaftaran diubah suai (34) dan meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan (26) serta kesalahan lain.

Dalam operasi itu, polis turut menahan 10 orang, termasuk seorang wanita kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Mohd Rodzi berkata kesemua mereka dibebaskan selepas diambil keterangan selain ikat jamin polis.

Lebih 100 anggota membabitkan polis, Rela dan Jabatan Pengangkuan Jalan terbabit dalam operasi itu yang diadakan di Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Raja Musa Aziz dan Jalan Raja Nazrin Shah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman berkata keghairahan enam remaja menyambut tahun baru terhenti apabila ditahan polis selepas mereka didapati positif dadah.

Beliau berkata dalam 'Ops Tahun Baru' yang bermula 10 malam semalam sehingga 5 pagi ini, polis turut mengeluarkan 88 saman trafik bagi pelbagai kesalahan termasuk remaja yang menunggang motosikal tanpa lesen serta menyita 24 motosikal.

"Ibu bapa kepada beberapa remaja dipercayai 'mat rempit' turut dipanggil ke Balai Polis Seri Manjung kerana anak mereka tidak memiliki lesen memandu yang sah," katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Jamil berkata operasi bersepadu itu melibatkan seramai 102 pegawai dan anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Rela, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Selain mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di sekitar daerah Manjung, pemeriksaan turut diadakan di pusat hiburan di Seri Manjung, Lumut dan Ayer Tawar, katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain