suria

Semangat 1Malaysia Tunjang Pelbagai Program Kemajuan Negara

KUALA LUMPUR: Semangat 1Malaysia yang menjadi tunjang kepada pelbagai program pemacu kemajuan negara seperti Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) telah mula membuahkan hasil sepanjang tahun 2010.

Selain itu, dasar lain seperti Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Petunjuk Keberhasilan Utama (KPI) turut menekankan aspek pengukuhan perpaduan nasional kerana tanpa perpaduan nasional yang mantap, wawasan nasional seperti yang diimpikan bersama tidak mungkin akan tercapai.

Sehubungan itulah falsafah induk 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" dijadikan sebagai panduan utama kerajaan yang bertindak sebagai peneraju mencapai matlamat negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kekuatan 1Malaysia ialah gabungan percambahan idea dan gandingan usaha gigih yang telah dicurahkan untuk keluar daripada perangkap ekonomi berpendapatan sederhana serta melonjak ke tahap pembangunan yang jauh lebih tinggi.

Hasilnya, Pendapatan Negara Kasar (GNI) kini diunjurkan meningkat hampir RM1.7 trilion (AS$524 bilion) pada 2020 daripada RM600 bilion (AS$188 bilion) pada 2009.

Ini sekaligus meningkatkan pendapatan per kapita Malaysia daripada RM22,000 (AS$7,000) kepada sekurang-kurangnya RM49,500 (AS$15,000) pada 2020. HAB

KEWANGAN ISLAM DUNIA Di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) Malaysia kini menjadi salah satu hab kewangan Islam dunia berikutan peningkatan bilangan pemain asing serta permintaan bagi mendapatkan pembiayaan Islam negara ini.

Setakat ini terdapat 24 peserta yang termasuk institusi kewangan tempatan dan asing yang menawarkan pembiayaan Islam.

Menurut perangkaan Bank Negara Malaysia, sehingga September tahun ini, sistem perbankan Islam negara ini telah mengumpul aset sejumlah RM250 bilion atau 16.6 peratus daripada keseluruhan aset sektor perbankan, iaitu sebanyak RM1.5 trilion.

Dari segi kedudukan dalam kewangan Islam global, Malaysia berada pada kedudukan teratas bagi sukuk, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia dan Bahrain.

Antara kemajuan ketara dalam perbankan Islam pada tahun ini, ialah pengumuman daripada Kementerian Kewangan mengenai terbitan Sukuk 1Malaysia 2010 yang berjumlah RM3 bilion pada 21 Jun.

PENURUNAN KADAR JENAYAH Sepanjang tahun lepas, pasukan polis telah mencatat pelbagai kejayaan dalam soal mengurangkan jenayah melalui Program Transformasi Kerajaan dalam NKRA.

Mereka sentiasa pro aktif dan menjadikan kehadiran mereka dirasai di 50 kawasan panas di seluruh negara dengan stesen polis bergerak dan sukarelawan terlatih dari RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selain mengadakan kamera litar tertutup bagi pemantauan yang lebih baik.

Di Selangor, sebagai contoh, jenayah jalanan seperti ragut dan samun tidak bersenjata di 11 kawasan panas yang dipantau telah menurun sebanyak 20 peratus. Di Kajang sahaja, kadar jenayah menurun 13.24 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Kajang ACP Shakaruddin Che Mood.

Di Miri, Sarawak, keseluruhan indeks jenayah bagi bandaraya Miri telah menurun 14 peratus dari 1 Jan hingga 16 Nov tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Miri ACP Jamaluddin Ibrahim.

KLINIK 1MALAYSIA DAN KLINIK BERGERAK Program Klinik 1Malaysia yang dilancarkan tahun ini sebagai contoh telah berjaya memberikan rawatan kepada 1.2 juta pesakit sejak Januari lepas.

Sehingga kini, sebanyak 51 buah Klinik 1Malaysia telah dibuka dan sebanyak 50 buah lagi akan dibuka pada tahun depan. Purata 80 hingga 200 pesakit bagi setiap klinik setiap hari, telah mengunjungi klinik-klinik ini untuk mendapatkan rawatan mudah bagi penyakit seperti sakit kepala dan selesema.

Klinik yang ditempatkan dengan strategik dan dibuka setiap hari selama 12 jam dari 10 pagi hingga 10 malam itu menyediakan rawatan yang berkualiti untuk hanya RM1 manakala RM15 bagi penduduk bukan rakyat Malaysia.

Sementara itu, lebih 1,000 penduduk kawasan pedalaman sudah mendapat rawatan dan perkhidmatan kesihatan percuma yang disediakan oleh Klinik Bergerak 1Malaysia (KB1M).

Jumlah itu antara lain meliputi penduduk dari kawasan estet dan penempatan Orang Asli, yang mendapat rawatan percuma bagi penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kes-kes hamil.

KB1M dilihat memberi dimensi baru dalam aspek penyediaan perkhidmatan kesihatan bagi penduduk luar bandar, ladang dan kawasan pedalaman.

Klinik berkonsepkan bas yang diubah suai dan dilengkapi peralatan perubatan itu, akan melakukan lawatan ke 31 lokasi meliputi 71 kampung tradisional dan penempatan Orang Asli membabitkan 39,600 orang di Perak dan 13 lokasi meliputi 18 kampung dan ladang dengan kepadatan 10,000 orang di Selangor.

Klinik bergerak ini berbeza daripada 171 yang sedia ada kerana kemudahan rawatan yang disediakan lebih menyeluruh termasuk mampu membuat pembedahan kecil.

Bas yang diubahsuai kepada sebuah klinik itu dilengkapi dengan pelbagai kamudahan asas perubatan dan dikendalikan oleh doktor dan jururawat berpengalaman. Di Sarawak pula, bot yang dilengkapi dengan peralatan yang sama akan mula beroperasi di Sungai Baram.

PENDIDIKAN Sementara itu, tahun 2010 turut menyaksikan rombakan sistem pendidikan negara dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing.

Kerajaan menubuhkan Talent Corporation (Perbadanan Bakat) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal tahun depan yang akan menggubal Rangka Tindakan Bakat Nasional dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

Kementerian Pelajaran pula memperuntukkan RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru dan RM213 sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada pengetua atau guru besar dan guru cemerlang.

Bagi memperkasa pendidikan awal, kerajaan memperuntukkan RM111 juta untuk program Permata, antaranya bagi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap serta meneruskan program Permata Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Mengiktiraf pendidikan Islam, kerajaan membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak RM95 juta manakala peruntukan sebanyak RM250 juta untuk sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

Malaysia Development Berhad (1MDB) pula akan menyediakan multi-vitamin untuk pelajar sekolah rendah yang diharap dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar.

PROJEK ALIRAN TRANSIT MASSA MRT Sebelum menutup tirai 2010, Perdana Menteri mengumumkan perlaksanaan projek Aliran Transit Massa (MRT) di Lembah Klang yang dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) antara RM3 bilion dan RM4 bilion setiap tahun dari tahun hadapan hingga 2020, hasil daripada pembinaan dan operasi.

Projek MRT yang merupakan projek infrastruktur yang terbesar di Malaysia adalah satu projek kemasukan ekonomi (EPP) untuk NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Projek MRT ini akan menjana 130,000 peluang pekerjaan dalam tempoh masa pembangunannya dan kerja pembangunan dijangka bermula Julai tahun hadapan. Lebih 400,000 orang dijangka menggunakan perkhidmatan MRT setiap hari apabila projek ini siap dalam tempoh lima tahun kelak.

Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang adalah fasa pertama dalam pembangunan jaringan MRT di Lembah Klang.

Laluan-laluan yang akan dibangunkan pada masa hadapan telah dicadangkan dan dikaji di bawah skop Pelan Induk Pengangkutan Awam Bandar oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. - BERNAMA

Artikel Lain