suria

Lebih 10,000 Dijangka Hadiri Hari Krismas Terbuka Nasional 2010 - Ali Rustam

MELAKA: Lebih 10,000 orang dijangka hadir pada Hari Krismas Terbuka Nasional 2010 di Perkampungan Portugis, Ujung Pasir di sini Ahad ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata semua persiapan dilakukan mengikut jadual dan raptai terakhir sambutan itu akan diadakan pagi Ahad ini.

Katanya, majlis itu dijadual dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan dihadiri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Mohd Ali berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan sambutan majlis berkenaan hari ini.

Beliau berkata acara itu dijadual bermula 8.30 malam dengan Khalil, bersama beberapa tetamu kehormat, mengunjungi rumah di Perkampungan Portugis sebelum ke pentas utama untuk upacara perasmian pada 9 malam.

"Kita juga akan cipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records dalam Tarian Spontan Teramai, iaitu Joget Ria 1Malaysia pada sambutan itu, asalnya kita sasarkan 2,000 orang, tetapi kita mahu kesemua yang hadir iaitu lebih 10,000 orang menari bersama," katanya.

Mohd Ali berkata pada majlis itu juga, seramai 55 peserta Miss Tourism International dari seluruh dunia akan memperagakan pakaian batik Malaysia.

Beliau berkata sambutan itu dijangka berakhir 10.55 malam selepas Khalil berkunjung ke sebuah kedai kopi di perkampungan tersebut untuk beramah mesra dengan mereka yang hadir sebelum meninggalkan majlis.

Ini merupakan sambutan Hari Krismas Terbuka Nasional kedua diadakan di venue yang sama, sebelum ini, pada 2008 dan kali ketiga di Melaka.

Kali pertama ialah pada 2002 di Hang Tuah Mall di sini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain