suria

Selangor Dan Pusat Perlu Ketepi Fahaman Politik Dalam Menyelesaikan Isu Air - Peter Chin

PUTRAJAYA: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata kerajaan negeri Selangor dan kerajaan persekutuan perlu mengenepikan perbezaan fahaman politik dalam menyelesaikan isu penstrukturan semula bekalan air di negeri itu.

Beliau berkata sebarang campur tangan politik dalam proses rundingan itu tidak akan membawa sebarang kemajuan dan pembaharuan.

"Saya sentiasa memberikan kerjasama kepada perbincangan rundingan penstrukturan bekalan air ini.

"Perkara ini perlu diselesaikan secara rasional dan hal politik perlu diketepikan jika hendak maju ke depan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga kementerian itu di sini, Selasa.

Chin berharap isu penstrukturan semula perkhidmatan air di Selangor tidak akan berlanjutan dan akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Beliau juga berkata kementerian tidak menghalang hasrat kerajaan negeri untuk mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor.

"Mereka boleh meneruskan usaha untuk mengambil alih kesemua syarikat konsesi air yang ada tetapi perlu berdasarkan prinsip sedia beli, sedia jual," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain