suria

Muhyiddin Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Sulaiman Taha

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga Allahyarham Datuk Sulaiman Taha yang meninggal dunia di Hospital Ampang Puteri di sini Jumaat.

Muhyiddin berkata pemergian Sulaiman ke Rahmatullah akan dirasai bukan sahaja oleh anggota keluarga Allahyarham tetapi juga para penduduk di sekitar Labis, Johor kerana Allahyarham telah lama berkhidmat sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Tenang.

"Allahyarham Sulaiman adalah seorang pemimpin yang banyak menabur bakti kepada masyarakat dan negeri, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri Johor," kata Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini Jumaat.

Sulaiman, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Labis, meninggal dunia di Hospital Ampang Puteri di Kuala Lumpur pada 1.10 pagi akibat komplikasi daripada penyakit kencing manis.

Muhyiddin dan isteri berharap agar anggota keluarga Allahyarham tabah menghadapi kehilangan insan tersayang mereka dan mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan dihimpunkan bersama golongan orang yang soleh.

Allahyarham Sulaiman mula berkhidmat sebagai Adun kawasan Tenang selepas menang pada pilihan raya umum 2004. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain