suria

Pindaan Akta Francais Awal Tahun Depan - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Francais 1998 pada awal tahun depan bagi membolehkan dilakukan pendaftaran francaisi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya pindaan itu perlu kerana pihak KPDNKK tidak mendapat gambaran jelas mengenai pendapatan daripada francaisi kerana kebanyakan mereka tidak berdaftar dengan kementerian itu.

"Pindaan ini adalah supaya selain francaisor, francaisi juga berdaftar dengan kementerian dan kita dapat maklum balas secara terperinci mengenai pendapatan mereka," Ismail Sabri berkata.

Beliau berkata pendapatan sebanyak RM10.2 bilion dijana oleh 330 francaisor bagi tempoh 2006 sehingga 2008, tetapi kementerian masih tidak mendapat gambaran jelas mengenai pendapatan daripada francaisi.

"Kalau ditambah dengan 6,083 francaisi yang telah dibangunkan, saya rasa pendapatan ini boleh berganda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian lesen francais kepada 35 syarikat dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia dengan Pusat Pakar Dialysis Traktif Sdn Bhd.

Ismail Sabri juga berkata kementeriannya akan melancarkan Pelan Tindakan Francais Nasional tahun depan untuk memperkasakan industri francais.

Majlis tersebut juga menyaksikan majlis menandatangani perjanjian francais antara Pusat Pakar Dialisis dengan 14 koperasi yang akan beroperasi di tujuh buah negeri.

Sebanyak 14 pusat rawatan hemodialisis akan dibuka dengan satu cawangan di Selangor, Pulau Pinang, tiga di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan dua di Johor, Perak dan Kedah.

Ismail Sabri berkata sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi tahun depan untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh usahawan francais dalam mendapatkan pembiayaan terutama di kalangan usahawan kecil dan sederhana.

Beliau juga menggalakkan syarikat untuk tampil memfrancaiskan perniagaan dalam sektor yang berpotensi seperti teknologi hijau, pelancongan ekoloji, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pusat penjagaan dan perniagaan yang mematuhi syariah, termasuk konsep perniagaan francais tele/mudah alih.

"Kementerian yakin bahawa sistem francais akan menjadi pemangkin kepada hasrat Model Baru Ekonomi dalam membangunkan ekonomi negara melalui inisiatif diterajui sektor swasta," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain