suria

Siasatan Menyeluruh Pasti punca Terhempas Helikopter Di Malim Mawar

KAMPAR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dengan kerjasama Integrated Training and Services Sdn Bhd (ITTSB) sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca terhempasnya helikopter milik syarikat swasta tersebut di kawasan lombong, Malim Nawar di sini semalam.

Pengarah ITTSB, Leftenan Kolonel (B) Khairudin Dahlan berkata, siasatan yang diketuai pegawai penyiasat, Kapten (B) Md Jani Md Dom itu akan meliputi pelbagai aspek termasuk dari segi masalah teknikal mahupun kesilapan manusia.

Satu lagi siasatan berasingan akan dijalankan bagi mencegah nahas sama berulang kerana ia pertama kali melibatkan sebuah daripada tiga helikopter jenis Robinson-44 (R-44) milik syarikat berkenaan.

"Menara kawalan penerbangan kami tidak menerima sebarang aduan masalah teknikal daripada juruterbang helikopter terbabit dan mereka yang bertugas di menara tersebut hanya mengetahui kejadian itu selepas diberitahu oleh pihak polis, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sewaktu mengikuti siasatan nahas tersebut di sini, Rabu.

Khairudin berkata, berdasarkan rekod menara kawalan syarikatnya, helikopter itu mula berlepas pada pukul 2.27 petang dan kali terakhir ia membuat panggilan adalah pada pukul 2.45 petang.

Katanya, petugas di menara kawalan itu mula mengetahui mereka telah terputus hubungan dengan helikopter tersebut pada pukul 3.20 petang setelah mangsa gagal membuat panggilan pada setiap setengah jam mengikut prosedur penerbangan.

Kita hanya mengetahui helikopter itu terhempas lima minit kemudiannya, katanya.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang semalam seorang pegawai polis Inspektor Mohd Shukri Othman, 31, terbunuh apabila helikopter jenis Robinson 44 (R-44) yang dipandunya ketika dalam latihan terhempas dan terbakar di kawasan lombong, Malim Nawar di sini.

Kejadian berlaku pada pukul 3 petang ketika mangsa yang bertugas di Bahagian Latihan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang menjalani latihan memandu solo dari sebuah pusat latihan penerbangan swasta di Ipoh.

Sementara itu, Khairuddin berkata, helikopter R-44 buatan Amerika Syarikat (US) yang terbabit dalam nahas tersebut diperoleh pada 2004 dan ia pernah digunakan dalam latihan penerbangan di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, Insp Mohd Sukri yang dijangka tamat latihan untuk menjadi juruterbang helikopter pada Mac depan bersama tujuh lagi anggota polis itu telah pun memiliki lesen juruterbang persendirian (PFL) dari DCA.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Kampar, Abdul Aziz berkata hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati 90 peratus badan mangsa terbakar dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, jenazah Mohd Sukri selamat dikebumikan di Permatang Tok Gelam, Kepala Batas, Butterworth pukul 3 pagi hari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain