suria

Isu Air : Kerajaan Selangor Serah Memorandum Kepada Istana Negara

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim \mengemukakan Memorandum Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Selangor kepada Istana Negara bagi memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung isu itu, Ahad.

Memorandum itu diserahkannya kepada Pegawai Akhbar Istana Negara Khairi Abdul Rahman di perkarangan istana kira-kira 2.15 petang.

Beliau diiringi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali, Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Anggota Parlimen Shah Alam daripada PAS Khalid Samad.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Abdul Khalid berkata antara kandungan memorandum itu memohon Tuanku Mizan menitahkan hak air, yang kini dikendali Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dikembalikan kepada kerajaan negeri Selangor.

"Saya akan membuat offer-document menawarkan pembelian tersebut yang bernilai melebihi RM6 ribu juta kepada konsesi-konsesi yang menguruskan air," katanya.

Selain itu, memorandum tersebut turut memohon Tuanku Mizan meneliti semula matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi memahami keperluan untuk penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air secara holistik.

Terdahulu, seramai 4,350 anggota PAS, mahasiswa dari Lembah Klang dan Gabungan AntiPenyelewengan Selangor (GAPS) berhimpun tanpa permit di Masjid Negara dan Stadium Negara sebelum berarak serentak menuju ke Istana Negara.

Namun, pergerakan mereka dapat disekat anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Trafik menyebabkan hanya sebahagian yang dapat berarak ke Istana Negara.

Perhimpunan di Masjid Negara bermula kira-kira 12 tengah hari sebelum disuraikan polis kira-kira empat jam kemudian setelah melepaskan air dan gas pemedih mata.

Terdapat beberapa orang yang turut bertindak ganas terhadap anggota polis ketika cuba melepasi kawalan pihak keselamatan.

Sementara itu, kira-kira 150 anggota GAPS yang memakai baju hitam dengan lilitan kuning di kepala berhimpun di Stadium Merdeka kira-kira 12.30 tengah hari bagi menyuarakan bantahan terhadap kerajaan negeri Selangor.

Perhimpunan itu, yang diketuai Pengerusinya Hamizun Khairuddin, juga bertujuan menyerahkan memorandum "30 Perkara Penyelewengan Kerajaan Negeri Selangor Pemerintahan Pakatan Rakyat" kepada Istana Negara.

Hamizun berkata memorandum itu bagi menyuarakan kemarahan rakyat Selangor atas penyelewengan yang dilakukan kerajaan pembangkang pimpinan PKR.

"Kita telah sampai ke satu klimaks di mana rakyat sudah tidak dapat lagi membendung perasaan marah kepada banyak penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan negeri Selangor.

"Oleh kita bercadang untuk menyampai hasrat rakyat kepada Tuanku hari ini, dan antara perkara yang kami tekankan dalam memorandum hari ini antaranya ialah soal penyelewangan kewangan yang berlaku di negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata GAPS berharap perkara itu dapat dibincangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja akan datang.

GAPS bagaimanapun bersurai selepas diarahkan polis kerana tiada permit. Namun, Hamizun dapat menyerahkan memorandum itu kepada pihak Istana Negara kemudian.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain