suria

NGO Dan GAPS Mahu Kerajaan PKR Selangor Lucut Jawatan Penasihat Eknomi Negeri

SHAH ALAM: Beberapa badan bukan kerajaan dan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS)hari ini menyerahkan dua memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang antara lain memohon agar jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri itu dilucutkan.

Memorandum berhubung isu "Menggadaikan dan Menghapuskan Perkataan Melayu" dan "30 Perkara Penyelewengan Kerajaan Negeri Selangor" diserahkan oleh Pengerusi GAPS Hamizun Khairuddin kepada Pegawai Pengiring Sultan Selangor Komander Ramli Kadri.

Sebelum itu, lebih 200 anggota beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di hadapan Istana Bukit Kayangan di sini.

Antara lain memorandum itu meminta rakyat Selangor khasnya orang Melayu agar prihatin dan memandang serius titah baginda mengenai usaha pihak tertentu termasuk orang Melayu untuk menidakkan konsep "Ketuanan Melayu dan menghapuskan perkataan "Melayu" pada Raja-Raja Melayu".

Bercakap kepada pemberita kemudian, Hamizun berkata GAPS bersama Majlis Belia Selangor, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Jaringan Melayu Malaysia telah memohon perkenan baginda supaya mempertimbangkan beberapa permohonan di dalam memorandum itu.

Selain memohon agar baginda menasihati kerajaan negeri agar melucutkan jawatan yang dipegang Anawar, mereka juga mahu pemimpin Parti Keadilan Rakyat itu "diharamkan' daripada menjejakkan kaki ke bumi Selangor kerana beliau merupakan dalang yang menyemai kebencian dan cemburu sesetengah pihak terhadap kemajuan dan perpaduan umat Melayu.

Jawatan Penasihat Ekonomi itu hanyalah untuk mengukuhkan kedudukan politik beliau bahkan tidak menyumbang apa-apa kepada kemajuan negeri Selangor yang telah sedia maju dan makmur, katanya.

Mereka juga memohon Sultan Selangor supaya melucut dan menarik balik sebarang anugerah bintang, darjah kebesaran atau gelaran terhadap mereka yang menerajui dan bersekongkol dengan parti politik yang menggadaikan perkataan Melayu, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain