suria

Kes Kugan: Nasib Konstabel Diputuskan 28 Januari

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 Januari depan untuk memberikan keputusannya terhadap seoang Konstabel polis yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang suspek kes curi kereta mewah, A.Kugan yang mati dalam tahanan polis.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh tersebut selepas berbincang dengan pihak pendakwaan dan pembelaan di dalam kamarnya pada Jumaat.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi mewakili pihak pendakwaan sementara tertuduh, V. Navindran diwakili peguam Datuk P.M. Nagarajan.

Nagarajan semasa ditemui berkata, mahkamah belum bersedia untuk memberikan keputusan di peringkat akhir pendakwaan yang dijadualkan hari ini.

Navindran, 28, didakwa atas dua tuduhan yang mengakibatkan kecederaan parah ke atas Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di bilik soal siasat D9, balai polis Taipan, USJ, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 4 petang pada 16 Januari tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Azlina, Abaszafree Mohd Abbas dan Lailawati Ali.

Perbicaraan telah berlangsung selama 25 hari, bermula 18 Februari lalu dan pihak pendakwaan mengemukakan 24 saksi pendakwaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain