suria

Impak Dari Kecelaan...

NAMPAKNYA pelbagai pihak cuba membuat analisis berhubung persoalan masa depan PKR selepas kekecohan perjalanan pemilihan pusat dan cabangnya yang baru berlangsung.

Ada pihak cuba membangkitkan satu persoalan iaitu apakah dakwaan penyelewengan dalam pemilihan parti itu benar-benar akan menjejaskan prestasi PKR dalam pilihan raya umum yang ke-13 nanti.

Pada pemerhatian penulis, adalah terlalu awal untuk berkata demikian. Ini kerana tidak sepertimana Amerika Syarikat dan untuk contoh yang lebih dekat Indonesia, di Malaysia tidak ada siapa yang tahu bilakah tarikh sebenar pilihan raya umum akan diadakan melainkan perdana menteri sahaja.

Jika perdana menteri tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong akan tarikh pembubaran parlimen, maka tidak adalah pilihan raya umum. Walaupun hakikatnya tempoh mana-mana kerajaan berkuasa di Malaysia ditetapkan selama lima tahun tetapi realitinya, tidak pernah pilihan raya umum diadakan sehingga tamatnya tempoh sah kerajaan yang sedia ada.

Oleh kerana tidak ada siapa pun yang dapat meneka dengan tepat tarikh sebenar pilihan raya umum akan datang (melainkan pm) maka sudah pastinya tidak relevan untuk kita berhujah mengatakan kecacatan dalam proses pemilihan PKR baru-baru ini boleh memberi impak besar atau menjejaskan peluang mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Apatah lagi dalam konteks rakyat Malaysia sendiri, kita ada sindrom “mudah lupa”. Antara sekarang dengan pilihan raya akan datang mungkin boleh mencapai jarak sehingga dua setengah tahun lagi. Andai kata ini terjadi, tidak mungkin apa yang berlaku dua setengah tahun dahulu akan diambil kira atau menjadi pertimbangan yang berkesan untuk menilai atau menghukum mana-mana parti. Orang akan lupa.

Kedua, jarak yang terlalu jauh itu akan memberi ruang serta peluang kepada isu-isu lain yang lebih besar mengambil tempat di hati rakyat. Oleh yang demikian, pada pandangan penulis, kesan atau impak segera yang sebenarnya muncul ekoran daripada kecacatan dalam proses pemilihan PKR baru-baru ini adalah seperti berikut;

> PKR akan berhadapan dengan kesukaran untuk menyakinkan rakyat tentang kelemahan-kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kerana mereka sendiri cela dalam mengendalikan pilihanraya parti mereka.

> Kecelaan yang paling ketara ialah kegagalan PKR untuk menggunakan peti undi lutsinar dalam proses pembuangan undi. Ia dilihat sebagai ‘dosa’ paling besar sepanjang proses pengundian pemilihan pucuk pimpinan pusat PKR. Ini amat jelas sekali akan mengurangkan keberkesanan kritikan PKR ke atas SPR. Rakyat akan berkata, proses pilihan raya PKR sendiri tidak telus inikan pula hendak mengata SPR tidak betul. Jadi hidup SPR akan jadi sedikit lebih aman selepas ini kerana satu peluru daripada PKR sudah boleh dianggap tidak berkesan, ibarat peluru kapur.

> Kecelaan ini juga sedikit sebanyak menjejaskan imej ketelusan di dalam diri PKR. Ramai yang tertanya-tanya, sepanjang aduan mengenai kecelaan proses pemilihan itu berlaku kenapa Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Dr Molly Cheah tidak muncul menjawab semua persoalan yang dibangkit tetapi sebaliknya yang muncul menjawab isu-isu tersebut ialah Setiausaha Agung parti, Saifuddin Nasution Ismail.

> Kecelaan pada proses pilihan raya PKR juga meninggalkan kesan besar ke atas satu lagi isu yang selama ini gagal dilihat oleh ramai pihak termasuklah PKR sendiri. Ia menunjukkan bukanlah mudah untuk mengendalikan sebuah pilihan raya secara langsung pada skala yang besar jika tidak benar-benar bersedia. Walaupun penafian demi penafian dibuat tetapi Zaid Ibrahim dan beberapa yang lain telah membuka mata rakyat yang PKR belum bersedia mengendalikan satu pilihan raya pada skala besar.

> Kegagalan ini telah menimbulkan keraguan di kalangan orang-ramai bagaimanakah Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, PAS dan DAP mampu untuk mengendalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan jika mereka tidak mampu mengendalikan pilihan raya parti dengan sempurna. Pada pilihan raya Mac 2008, salah satu isu besar yang terkandung di dalam manifesto pembangkang ialah cadangan untuk mengadakan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan jika mereka berkuasa.

> Kegagalan pucuk pimpinan PKR mengendalikan isu Zaid Ibrahim dengan berkesan telah mengundang kepada kelahiran sebuah lagi parti baru dan ‘pemberontakan-pemberontakan’ kecil di sana-sini. Tidak boleh dinafikan ini bakal menjejaskan struktur parti di cabang-cabang yang mempunyai ramai pengikut Zaid dan para pemberontak yang lain yang tidak sehaluan dengan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.

> Kesan daripada pemilihan ini akan memakan dan menghabiskan masa Anwar serta Azmin ke sana-sini hanya untuk membetulkan keadaan semula dan merapatkan saf kepimpinan cabang bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

> Dan sesuatu yang paling ketara ialah di manakah ahli-ahli PKR yang menurut Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berjumlah lebih 400,000 orang. Ini kerana pemilihan langsung yang diperkenalkan oleh PKR buat pertama kalinya untuk mana-mana parti politik di negara ini telah mendedahkan satu perkara kepada umum -jumlah yang keluar mengundi tidak mencerminkan angka sebenar keanggotaan parti sepertimana yang dilaung-laungkan sebelum ini.

Jika angka keahlian mencecah sehingga hampir setengah juta orang, kenapa jumlah yang keluar mengundi begitu sikit sekali. Sepatutnya, cara atau pendekatan demokrasi baru ini (iaitu mengundi/memilih pucuk pimpinan secara langsung oleh akar umbi) menarik minat ahli untuk beramai-ramai keluar mengundi.

Peluang seperti ini tidak pernah berlaku dan tidak pernah disaksikan oleh umum. Tetapi mengapa akhirnya ia masih gagal menarik minat ramai ahli untuk keluar mengundi? Apakah ahli-ahli ini benar-benar wujud? Atau ia hanya sekadar di atas kertas?

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain