suria

Sarjan Tharmendran Fail Habeas Corpus

KUALA LUMPUR: Sehari selepas kejadian penahanan semula oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sarjan N.Tharmendran memfailkan permohonan habeas corpus untuk mendapatkan perintah dia dibebaskan atas alasan penahanan itu dibuat secara salah.

Permohonan itu difailkan pada petang Jumaat, dan Tharmendran selaku pemohon diwakili peguam N.Surendran daripada Tetuan Edwin Lim Suren & Soh.

Dalam permohonannya, Tharmendran menamakan Leftenan Kolonel Mohd Razif Ramli, iaitu pegawai yang menahanya pada Khamis selaku responden dan diikuti oleh Komandan Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Menteri Pertahanan Malaysia.

Tharmendran melalui afidavit sokongannya mendakwa, penahanan yang berlaku di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam, dekat sini, adalah berniat jahat, dilakukan di luar bidang kuasa dan menyalahi undang-undang.

Dia mendakwa, penahanan atas alasan meninggalkan tugas di bawah Seksyen 54, Akta Angkatan Tentera 1972 itu adalah tidak sah kerana dia tidak lagi berkhidmat dengan TUDM dan merupakan seorang awam.

“Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak lagi membayar gaji saya sehingga Jun lalu selepas tamat perkhidmatan pada Mei lalu dan tidak memperbaharui kontrak kerja,” katanya di dalam afidavit tersebut.

Seterusnya, Tharmendran mendakwa penahanan itu jelas menunjukkan ATM mempunyai niat untuk menghukumnya kerana mendedahkan kes penderaan yang didakwanya berlaku semasa ditahan atas tuduhan bersubahat mencuri enjin jet pejuang kepada pihak media.

Surendran menyatakan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Su Geok Yiam pada 3 Disember ini.

Pada Khamis, Tharmendran ditangkap semula oleh lima pegawai Jabatanarah Provos Marsyal TUDM yang diketuai oleh Mohd Razif yang menghampiri keretanya semasa sedang bersiap untuk pulang selepas prosiding mahkamah selesai.

Surendran semasa itu menyatakan bahawa Tharmendran menyerah diri dalam keadaan protes kerana percaya akan dipaksa sekiranya enggan mengikut Mohd Razif.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini atas tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 bernilai RM607,140, pada 2007 dan 2008.

Dia didakwa berbuat demikian di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat sini pada 30 April 2008.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain