suria

Samy Vellu Tetap Letak Jawatan Januari Walaupun Ada Spekulasi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri S. Samy Vellu berkata bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai presiden MIC Januari depan sebagaimana yang dijanjikan dan tidak akan menghiraukan sebarang spekulasi terhadapnya.

Beliau berkata spekulasi dan berita negatif terhadap peletakan jawatannya tidak sama sekali akan mempengaruhi tanggungjawab beliau dalam parti tersebut.

"Bila saya keluar parti, hari itu saya akan mengadakan mesyuarat dan menjemput para media untuk mengumumkan peletakan jawatan saya serta menyerahkan jawatan saya kepada Timbalan Presiden Datuk G. Palanivel," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di Ibu Pejabat MIC di sini Khamis.

Katanya golongan yang melakukan spekulasi tersebut tidak akan mendapat manfaat sebaliknya akan hilang kepercayaan di kalangan masyarakat India terhadap kumpulan itu.

"Saya berpegang kuat terhadap pemikiran dan peranan dan tahu apa yang pernah dan perlu dilakukan untuk masyarakat...masyarakat sendiri tahu tentang perkara itu," katanya kepada pemberita ketika ditanya spekulasi media dan orang ramai bahawa beliau belum pasti akan meletak jawatan tahun depan.

Pada 30 September lepas, Samy Vellu, 74, mengumumkan akan meletak jawatan pada Januari tahun depan setelah memimpin parti itu selama 31 tahun.

Ditanya mengenai persediaan parti tersebut untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), beliau berkata kesemua ketua cawangan dan bahagian akan turun padang pada masa yang terdekat untuk lebih mengenali dan bermesra dengan rakyat.

Katanya, latihan kepimpinan dan pengurusan akan diberikan kepada mereka bagi membuka lebih banyak pusat perkhidmatan rakyat di seluruh negara, memperbanyakkan aktiviti turun padang dan mendaftar lebih ramai pengundi India.

Beliau juga berkata MIC telah berjaya mendaftar seramai 30,000 pengundi baru di seluruh negara bermula awal tahun ini.

"Kita mesti tunjuk kepada masyarakat bahawa MIC mengambil berat terhadap kebajikan khususnya daripada segi pendidikan dan persekolahan," katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga yakin bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk menang di PRU-13 berikutan krisis politik yang sedang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Sebelum ini pun ramai pengundi yang sokong PKR pada pilihan raya umum 2008 sudah mula kembali kepada MIC berdasarkan kemenangan yang kita peroleh di Hulu Selangor dan Bagan Pinang...jadi saya yakin kita boleh menang," katanya.

Mengenai isu yang dibincangkan dalam mesyuarat CWC, Samy Vellu berkata mesyuarat itu meminta kerajaan mempertimbangkan usaha memperluaskan Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (Permata Negara) ke kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk India.

"Dalam usaha memperkasakan pendidikan awal, kami juga mohon pra-sekolah diperluaskan dan bilangan guru pra-sekolah ditambah di sekolah-sekolah Tamil," katanya.

Parti tersebut juga memohon kerajaan untuk memperuntukkan RM50 juta bagi menyediakan pinjaman mudah bagi mewujudkan kira-kira 100 usahawan tekno India dalam bidang modal pelaburan. - BERNAMA

Artikel Lain