suria

Pusat Hemodialisis Swasta Tanpa Lesen Berdepan Tindakan Undang-Undang - Ismail Merican

KUALA LUMPUR: Pusat hemodialisis swasta yang beroperasi tanpa lesen berdepan tindakan undang-undang jika masih tidak memilikinya pada April tahun depan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan terhadap pusat hemodialisis sedia ada dalam masa enam bulan dari sekarang, manakala yang baru pula tidak dibenarkan beroperasi tanpa mendapatkan lesen terlebih dahulu.

"Pada masa ini, pegawai-pegawai kementerian sedang giat menjalankan pemeriksaan di pusat-pusat hemodialisis swasta bagi memastikan kehendak peraturan dipatuhi," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata mengikut Seksyen 3 dan 5 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), seseorang individu boleh didenda sehingga RM300,000 atau enam tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, jika pusat hemodialisis kendalian mereka beroperasi tanpa lesen.

"Dalam hal perkongsian, pertubuhan perbadanan dan pertubuhan boleh didenda sehingga RM500,000," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Beliau berkata sehingga 1 November lepas, kementerian hanya meluluskan 34 peratus daripada 502 permohonan pusat hemodialisis swasta bagi lesen mengendalikan atau menyediakan perkhidmatan rawatan itu.

Katanya, kebanyakan pusat hemodialisis itu didapati tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan, seperti gagal menyediakan bilangan staf kejururawatan atau penolong pegawai perubatan berpengalaman dan terlatih dalam bidang berkenaan.

Dr Mohd Ismail berkata selain itu, pusat hemodialisis berkenaan juga gagal melaksanakan penyelenggaraan peralatan hemodialisis yang optimum bagi memastikan perkhidmatan berkualiti diterima oleh pesakit.

Beliau berkata pengendali juga bertanggungjawab memastikan pesakit sedia ada mendapat rawatan berterusan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta 586, jika pusat hemodialisis mereka terpaksa ditutup atas apa-apa sebab, termasuk tidak mempunyai lesen.

Katanya, keterangan lanjut mengenai peraturan pusat hemodialisis boleh didapati di Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan menerusi talian 03-8883 1271/1272/1206 atau e-mel kepada [email protected]. - BERNAMA

Artikel Lain