suria

SPRM Diminta Tidak Ketepikan Aduan 'Kecil'

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta agar tidak memandang ringan aduan yang dianggap kecil kerana ia akan memberi kesan kepada keyakinan masyarakat.

Saranan itu dibuat oleh bekas ketua Suruhanjaya Bebas Membanteras Rasuah Hong Kong (ICAC), Bertrand Edouard Doger de Speville, yang melawat SPRM di sini, Selasa.

Sempena kunjungan itu, beliau turut memberi taklimat kepada semua ahli lembaga, jawatankuasa dan panel SPRM.

"Kita berkongsi pengalaman beliau ketika bersama ICAC Hong Kong. Kita juga ingin tahu apakah elemen-elemen penting yang turut beliau bukukan bagi meningkatkan keberkesanan SPRM dalam mencegah rasuah," kata Ketua Pengarah SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed kepada pemberita selepas kunjungan itu.

Abu Kassim berkata, pengalaman ICAC Hong Kong boleh dicontohi oleh SPRM kerana struktur model yang digunakan kedua-dua badan itu adalah sama.

"Beliau mengatakan SPRM harus memberi penekanan bagi menjalankan siasatan kepada semua aduan yang dibuat termasuk yang kecil. Kecil atau besar adalah sama besar," kata Abu Kassim.

Katanya, SPRM sendiri mempunyai satu jawatankuasa khas yang bermesyuarat setiap pagi untuk membincangkan semua kes rasuah.

"Kes-kes yang dikira tidak berbentuk rasuah akan akan dibentangkan pula kepada Panel Penilaian Operasi. Kita perlu perjelaskan kepada Panel Penilaian Operasi mengapa kes-kes itu tidak dituduh.

"Ini penting untuk tingkatkan keyakinan masyarakat bahawa kita tidak menutup mana-mana kes atas sebab-sebab yang tidak telus," kata Abu Kassim.

Katanya, ini akan menjadi kekuatan pada masa hadapan bahawa tindakan SPRM dipantau oleh jawatankuasa yang diwakili oleh rakyat ini.

De Speville pula, ketika ditanya sama ada SPRM perlu mempunyai kuasa pendakwaan, berkata sebuah badan anti rasuah tidak seharusnya mempunyai kuasa seperti itu.

"Saya berpendapat prinsip asas penghakiman jenayah perlu dikekalkan termasuk bagi mengasingkan fungsi siasatan, pendakwaan dan hukuman," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain