suria

Pemandu Lori Dipenjara Sembilan Tahun, 10 Sebatan Miliki Kanabis

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis kanabis seberat 755 gram, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan tertuduh, C.S.Gunalan, 28, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu pada 22 Dis 2008.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 2, Desa Jaya, Kepong, Gombak, kira-kira pukul 8 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan minimum 10 kali sebatan.

Gunalan sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin mengendalikan pendakwaan sementara tertuduh diwakili peguam Naran Singh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain