suria

Mangsa Banjir di Kedah Meningkat Kepada 33,000

ALOR SETAR: Jumlah penduduk yang dipindahkan kerana banjir di Kedah meningkat kepada 33,413 orang petang Khamis berbanding 28,473 pagi tadi setelah keadaan dilaporkan semakin buruk di empat daerah.

Daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang mencatat peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan dengan pertambahan yang begitu ketara di Kota Setar, manakala keadaan di Padang Terap pula semakin baik dan jumlah mereka di pusat pemindahan berkurangan.

Di Kubang Pasu, seramai 15,672 penduduk daripada 4,347 keluarga kini dipindahkan, manakala di Padang Terap seramai 2,737 orang daripada 696 keluarga masih berada di pusat pemindahan, Kota Setar melibatkan 12,960 penduduk (3,342 keluarga), Pokok Sena (1,868 orang daripada 327 keluarga) dan daerah Pendang merekodkan 176 penduduk daripada 44 keluarga dipindahkan.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga 4 petang tadi, 105 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 46 adalah di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, 15 di Kota Setar, lapan di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya keadaan di Padang Terap bertambah baik dengan 482 orang daripada 144 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat.

Keadaan di Kota Setar adalah buruk dan tinjauan Bernama mendapati paras air semakin naik walaupun hujan telah berhenti. Beberapa jalan utama di bandar raya Alor

Setar pula digenangi air menyebabkan keadaan sesak manakala beberapa kawasan kediaman berdepan dengan gangguan bekalan air termasuk terputus bekalan.

Semakin banyak jalan di daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena terpaksa ditutup kerana dinaiki air manakala di Padang Terap bilangannya berkurangan sedikit.

Antara jalan yang dinaiki air: KOTA SETAR 1. Jalan Pantai Johor - Gunung Keriang 2. Jalan Kuala Sungai - Sungai Baru 3. Jalan Alor Setar - Kepala Batas 4. Jalan Kepala Batas - Bukit Pinang 5. Jalan Hutan Kampung - Kepala Batas 6. Lebuhraya Darulaman (beberapa bahagian) 7. Jalan Alor Setar - Kangar 8. Jalan Alor Mengkudu-Tok Keling 9. Jalan Titi Besi-Kampung Pasir 10. Jalan Langgar - Pendang 11. Jalan Pantai Johor - Gunung Keriang 12. Jalan Gunung Keriang-Alor Janggus

POKOK SENA 1. Jalan Lengkuas - Derang 2. Jalan Derang - Batu 11 Pokok Sena 3. Jalan Bukit Payong-Kg Cina 4. Jalan Bukit Tembaga-Kuala Pai-Lembah Arang

KUBANG PASU 1. Jalan Tanah Merah - Wang Tepus 2. Jalan Kepala Batas - Kemunting 3. Jalan Jitra - Sungai Korok 4. Jalan Tunjang - Teluk Malek 5. Jalan Teluk Malek - Kampung Naga 6. Jalan Jitra - Bukit Wang 7. Jalan Napoh - Wang Tepus 8. Jalan Changlun - Kodiang 9. Km 10.2 hingga Km28 Lebuhraya Utara Selatan 10. Jalan Jitra-Kelubi 11. Jalan Jitra-Alor Rambai-Kepala Batu

PADANG TERAP 1. Jalan Kampung Kubu - Simpang Nai Teh 2. Simpang Nai Teh - Kampung Tengah 3. Jalan Masjid Kuala Nerang - Kampung Rambutan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain