suria

Nikah Sindiket: Penolong Amil Kekal Dibicara

SHAH ALAM: Percubaan seorang penolong amil kariah sebuah masjid untuk menggugurkan pertuduhan bersubahat menikahkan satu pasangan tanpa tauliah gagal selepas representasi yang dihantarnya ditolak.

Perkembagan terbaru itu menyebabkan Abdul Rahman Adam, 46, kekal dibicarakan dan pada Rabu, Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 23 Januari depan sebagai perbicaraan kes.

Tarikh tersebut ditetapkan pada sebutan kes di hadapan Hakim Syarie Kamarulzaman Ali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Muhammad Nazri Basrawi memberitahu, peguam syarie yang mewakili tertuduh, Boestaman Ahmad telah menghantar representasi.

“Bagaimanapun, Ketua Pendakwa Syarie telah membuat keputusan untuk menolak representasi tersebut dan pihak pendakwaan berhasrat meneruskan prosiding mahkamah,” katanya.

Pada prosiding itu, Abdul Rahman yang ditangkap selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pernikahan sindiket yang dikenali sebagai ‘Sindiket Pak Sheikh’ memohon maaf atas ketidakhadiran Boestaman. “Peguam saya memohon maaf kerana beliau terlibat dengan banjir yang berlaku di Kedah,”katanya.

Dalam kes ini, Abdul Rahman didakwa bersubahat menikahkan Mohd Luqman Hakim Ab Rahman, 28, dan Mazlina Abdul Majid, 29, pada pukul 3.30 petang, 13 Ogos lalu di Lot 11A, Desa Subang Perantau, Sungai Buloh, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang dibaca bersama Seksyen 39 enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara enam sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Abdul Rahman yang dibebaskan dengan jaminan RM500 hadir di mahkamah bersama seorang rakan, Ariffin Idris, 59, yang merupakan penjamin bagi tertuduh pertama, Asbai’ Rofik, 56, seorang warganegara Indonesia.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, Asbai’ gagal dikesan untuk membolehkan pendakwaan terhadapnya dilakukan.

Hasrat Ariffin untuk menarik diri daripada terus menjadi penjamin juga gagal selepas Kamarulzaman memerintahkan dia terus mencari Asbai’.

“Tugas seorang penjamin sangat berat. Kamu menjadi galang gantinya. Kamu akan dilepaskan daripada menjadi penjamin setelah tertuduh datang ke mahkamah.

“Itu adalah akad yang kamu masukkan ke dalam mahkamah ini. Janji itu masih belum kamu tunaikan. Kamu kena cari dia walaupun ke lubang cacing,” katanya.

Muhammad Nazri juga memberi jaminan akan membuat pemeriksaan di Jabatan Imigresen untuk mengetahui sama ada Asbai’ telah meninggalkan negara ini.

Justeru itu, Kamarulzaman menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula waran tangkap ke atas Asbai’.

Beliau juga memerintahkan Ariffin untuk menulis surat tunjuk sebab mengapa jaminan yang telah diberikan tidak boleh dilucutkan.

Pada 16 Ogos lalu, sebuah akhbar tabloid tempatan melaporkan Kegiatan sindiket itu yang menawarkan empat pakej pernikahan berharga antara RM700 hingga Rm4,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain