Adun Lenggeng Diperintah Bela Diri - Semasa | mStar

Adun Lenggeng Diperintah Bela Diri

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini memerintahkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng Mustafa Salim membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya pada 2008 selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Mustafa, 51, sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas semua pertuduhan pada 14 April lepas tanpa diarah membela diri di akhir kes pendakwaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nasfy Yasin berkata mahkamah membenarkan rayuan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.

"Mahkamah sudah meneliti beberapa faktor penting kes itu merangkumi nota keterangan, petisyen rayuan, alasan penghakiman dan hujahan kedua-dua pihak termasuk rakaman perbualan berkaitan elemen meminta dan menerima suapan.

"Oleh itu, tertuduh diminta membela diri dan memberi penjelasan di Mahkamah Sesyen," katanya.

Mustafa ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini, memilih untuk memberi keterangan bersumpah di dalam kandang saksi pada perbicaraannya.

Hakim Amran Jantan menetapkan 23 hingga 25 Nov ini untuk perbicaraan kes itu dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagi pertuduhan pertama, Mustafa didakwa meminta RM3,000 daripada M. Manimaran, 37, melalui Mustafa Pendek, 58, di Lot 1321, Mukim Pantai, Seremban, pada 11 pagi, 28 Ogos 2008, sebagai balasan mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan permit menjual pasir.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta RM2,000 daripada Manimaran untuk tujuan sama di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sembilan di Jalan Datuk Klana Ma'amor, Seremban, pada 9.05 malam, 30 Ogos 2008.

Dan bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima suapan RM2,000 daripada Manimaran di Restoran Jabrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, pukul 5 petang, 31 Ogos 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 iaitu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM negeri, Fieza Fazlin Fandi manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Taqiuddin Yahya dan Fiesal Mustapha. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain